Saturday, July 9, 2011

Yingluck perlu restu Raja Thai (wawancara utusan 4 Julai 2011)


Yingluck perlu restu Raja Thai


SEPERTI yang telah dijangkakan ramai pihak, Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum Thailand seterusnya mencatat nama Yingluck Shinawatra, 44, adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin, selaku Perdana Menteri wanita pertama negara itu.

Bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva akhirnya terpaksa mengakui kekalahan tersebut yang menyaksikan kejayaan besar bagi gerakan politik Baju Merah yang menyokong Thaksin.

Abhisit, 46, seorang ahli ekonomi yang dilahirkan di Britain dan mendapat pendidikan di Universiti Oxford sebelum ini telah memberi amaran Thailand boleh kembali bergolak jika Yingluck menang.

Penyokong Abhisit yang terdiri daripada pihak istana dan golongan kelas menengah serta atasan di bandar pula mahu Thaksin menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Aktivis Baju Merah bagaimanapun tetap memberi sokongan padu kepada Yingluck dan menuduh Abhisit bersekongkol dengan tentera untuk bertindak sewenang-wenangnya, tuduhan yang berlarutan sejak tentera menggulingkan Thaksin pada 2006.

Yingluck berhasrat menubuhkan kerajaan campuran dengan segera berikutan kemenangan itu sementara Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan pilihan raya tersebut.

Bagi Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang berlaku telah dijangkakan.

“Gerakan Baju Merah dan sokongan terhadap Thaksin memberi impak besar dalam pilihan raya kali ini yang diterjemahkan melalui keputusannya serta kemenangan Yingluck.

“Yingluck merupakan ikon imej abangnya yang menarik sokongan simpati terhadap Thaksin di kalangan rakyat di utara Thailand terutamanya di luar bandar,” katanya.

Secara peribadi, Mohamad Faisol tidak tahu sejauh mana keberkesanan parti baru pimpinan adik Thaksin itu akan berjaya kerana semuanya akan bergantung kepada penerimaan seluruh rakyat Thailand.

Tambahnya, persoalan utama kini adalah hubungan parti Pheu Thai itu dengan Raja Thailand dan istana yang seterusnya bakal menentukan sokongan atau tentangan pihak tentera.

“Menjadi satu cabaran untuk parti itu mahupun Yingluck sendiri mendapat restu istana dan ini mampu menggugat pentadbiran mereka kerana majoriti rakyat Thailand sangat setia kepada Raja.

“Masalah juga mungkin timbul dengan rakyat di selatan Thailand yang tidak menyokong Yingluck selepas banyak peristiwa buruk menimpa mereka semasa pemerintahan Thaksin,” jelasnya.

Menurut beliau, faktor-faktor itu merupakan risiko besar kepada Yingluck seterusnya tidak memberi jaminan tinggi kepimpinannya akan bertahan lama.

“Thaksin dahulu juga menghadapi masalah sokongan daripada istana dan kerana itu Yingluck perlu mempunyai hubungan baik dengan istana jika mahu bertahan lama.

“Rakyat Thailand masih dalam konflik antara amalan demokrasi penuh dan monarki mutlak. Namun, kesetiaan dan sokongan mereka kepada Raja amat tinggi, ditambah pula tentera sendiri berada di bawah kuasa Raja,” ujarnya.

Pemerintahan monarki mutlak Thailand berakhir pada 1932 tetapi menyaksikan lebih 30 peralihan pemerintahan Perdana Menteru melalui rampasan kuasa.

Raja Bhumibol Adulyadej yang menaiki takhta sejak 9 Jun 1946 juga telah menyaksikan 15 rampasan kuasa, peralihan 27 Perdana Menteri dan pernah menggunakan pengaruhnya untuk menghalang dua rampasan tentera pada 1980-an.

Mohamad Faisol menegaskan, sukar dijangka apa yang bakal berlaku kelak kerana parti Pheu Thai dan Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu masih baru dan semuanya bergantung kepada penerimaan rakyat Thailand terlebih dahulu, terutamanya di Selatan.

“Hubungan dua hala dan diplomatik dengan Malaysia tiada masalah tetapi situasi pemerintahan dalaman Thailand masih belum dapat dipastikan.

“Saya membuat andaian perarakan penentangan seperti sebelum ini bakal berlaku semula terutamanya dengan usul pengampunan dan membawa balik Thaksin yang pasti akan dikemukakan parti Pheu Thai,” katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan turut bersetuju pengaruh Thaksin masih besar dan kuat walaupun selepas beberapa tahun digulingkan apabila adiknya yang langsung tiada asas politik boleh menang besar dan dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Masyarakat kampung dan luar bandar masih menyokong Thaksin kerana dasar ketika zaman pemerintahannya dahulu memang diperakui berjaya.

“Dasar ‘Thaksinomik’ itu berjaya mengeluarkan negara itu daripada belenggu masalah ekonomi dan memberi pekerjaan kepada penduduk luar bandar,” jelasnya.

Tambahnya, kerana itu juga Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand yang dilantik secara demokrasi paling lama bertahan selepas menang besar dalam dua pilihan raya.

“Parti yang menang mungkin akan menggunakan peluang ini untuk memasukkan nama Thaksin dalam senarai pesalah bagi pengampunan di bawah sokongan Yingluck selaku Perdana Menteri.

“Tetapi usaha membawa balik dan menaikkan kembali bekas Perdana Menteri itu akan dilawan pihak tentera dan rampasan kuasa juga mungkin akan berulang,” ujarnya.

Ahmad Zaki menegaskan, campur tangan tentera dalam perancangan Parti Pheu Thai dan Yingluck itu mungkin berlaku memandangkan istana dan golongan elit negara itu tidak menyebelahi mereka.

“Jika mereka berjaya membentuk kerajaan sekalipun dalam tempoh terdekat ini, saya fikir dalam sebulan sahaja lagi Baju Kuning yang menentang Thaksin akan kembali ke jalan raya.

Dengan perkembangan dan jangkaan perkembangan situasi politik di Thailand, tidak mengejutkan jika senario politik jalanan negara itu akan diulang tayang.

Semua sudut positif dan negatif corak politik Thailand juga wajar diambil iktibar negara lain terutamanya para pemimpin politik dalam mencorak negara sendiri sama ada mahu demokrasi yang aman dan harmoni atau memilih bentuk politik ‘ombak’.

Sunday, April 3, 2011

Kedudukan Myanmar tanpa junta (Wawancara Utusan 2 April 2011)



Kedudukan Myanmar tanpa junta

PENGUMUMAN membubarkan junta tentera Myanmar pada 30 Mac lalu memberi sedikit kejutan dan menimbulkan beberapa persoalan bagi negara dan penduduk di Asia Tenggara.

Selepas hampir 50 tahun pemerintahan tentera, adakah rakyat Myanmar akan kembali kepada demokrasi dan adakah keputusan tersebut mengubah persepsi dan hubungan negara itu dengan negara jiran serta masyarakat antarabangsa?

Bagi pensyarah Kolej Undang- Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, pengumuman oleh televisyen kerajaan Myanmar itu cuma seperti 'gula-gula' untuk menarik perhatian dunia.

Jelasnya, langkah itu diambil untuk menunjukkan kerajaan junta telah mengambil pendekatan lembut dalam arus perubahan ke arah demokrasi tetapi sebenarnya pemerintahan tetap akan dipegang pihak tentera.

"Saya berpendapat junta belum bersedia menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam dan mereka mungkin telah hilang semua keyakinan terhadap orang awam setelah begitu lama negara dipegang tentera," katanya.

Walaupun dilihat sebagai satu evolusi corak pemerintahan, pembubaran junta mungkin telah dibuat lebih awal berikutan tekanan antarabangsa dan ASEAN di samping bencana alam iaitu gempa bumi yang melanda Myanmar pada 24 Mac lalu.

Mohamad Faisol berpendapat, desakan melalui diplomasi oleh ASEAN dan desakan secara langsung komuniti antarabangsa terutamanya sokongan untuk pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi telah memaksa Myanmar berubah.

"Saya melihat pendekatan ASEAN sama ada dibuat secara rasmi atau tidak sangat berkesan dalam mendorong perubahan di Myanmar.

"Mungkin perkembangan ini seterusnya akan membuka jalan untuk pilihan raya umum baru ke arah sistem demokrasi tetapi saya tidak rasa semua ini akan menjurus kepada demokrasi secara keseluruhan," ujarnya.

Beliau menjelaskan, tentera pasti akan mengekalkan walau sedikit corak pemerintahan junta kerana realitinya tentera tetap mahu mengekalkan kuasa.

Tambahnya, langkah itu merupakan kaedah 'tarik tali' dalam usaha tentera mengekalkan pemerintahan tetapi pada masa sama menunjukkan kepada dunia Myanmar kini semakin baik dan lebih berlembut.

Selepas tentera merampas tampuk kepimpinan negara sejak 1962, Myanmar mengangkat Thein Sein sebagai Presiden sementara Tin Aung Myint Ooo dan Sai Mauk Kham selaku Naib Presiden pada 30 Mac lalu.

Satu perempat daripada 493 kerusi Parlimen baru Myanmar dipegang anggota tentera dengan Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) yang disokong junta menguasai 388 kerusi.

Suu Kyi bagaimanapun tidak mempunyai suara di Parlimen baru itu berikutan partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dibubarkan kerana memilih untuk memboikot pilihan raya November lalu.

Selain itu, Mohamad Faisol turut menegaskan rakyat Myanmar sendiri tidak mempunyai harapan tinggi terhadap berita pembubaran junta mahupun pelantikan kabinet baru di bawah Presiden Thein Sein.

"Golongan majoriti di Myanmar sendiri tidak begitu yakin dengan perkembangan tersebut kerana perubahan politik yang tidak seiring pembaharuan ekonomi tidak akan memberi impak besar kepada pembangunan sesebuah negara.

"Program transformasi seperti di Malaysia yang meletakkan pembaharuan politik dan ekonomi secara serentak baru boleh berjaya," tegasnya.

Beliau juga berpendapat golongan minoriti Myanmar tidak akan melihat perubahan itu sebagai sesuatu yang positif memandangkan amalan dasar pilih kasih sejak sekian lama telah menindas dan tidak mengiktiraf kerakyatan puak-puak minoriti di negara tersebut.

"Akibat disisih dan dihalau, golongan minoriti Myanmar kini menjadi beban pelarian di beberapa negara jiran," jelasnya.

Bagaimanapun, pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan pula melihat perkembangan terbaru itu sebagai satu langkah positif bukan sahaja untuk Myanmar malahan untuk rantau Asia Tenggara.

"ASEAN memang telah lama menunggu langkah sebegini daripada Myanmar yang sebelum ini menutup terus pintunya.

"Kini, ASEAN secara tidak langsung perlu memainkan peranan untuk mengekalkan momentum jangka panjang perubahan yang mula berlaku di sana," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak begitu pasti sama ada momentum perubahan itu dapat dikekalkan kerana semuanya akan bergantung kepada sejauh mana keterbukaan pihak tentera berusaha ke arah demokrasi kelak.

Walaupun ada pendapat mengatakan pengumuman junta itu untuk menarik perhatian sahaja, Ahmad Zaki tetap percaya langkah itu telah memberi harapan baru untuk orang awam kembali mengembangkan demokrasi di Myanmar.

"Sebelum ini kita tidak begitu nampak kesedaran di kalangan tentera tetapi kini bibit-bibit fokus junta kepada prinsip-prinsip demokrasi mula timbul," katanya.

Walaupun pembubaran junta lebih menjurus kepada perubahan kaedah pemerintahan dari cengkaman secara langsung kepada pentadbiran secara berselindung, yang pasti Myanmar akan terus dikuasai tentera untuk beberapa tahun akan datang.

Selagi tentera tidak yakin dengan kemampuan pemerintahan awam dan tiadanya kumpulan awam yang mampu memegang tanggungjawab menguruskan negara, Myanmar kekal di bawah sayap tentera dan harapan rakyat akan terus tinggal harapan semata-mata.

Singapura negara berorientasikan perkauman (Wawancara Utusan 30 Jan 2011




Singapura negara berorientasikan perkauman

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Bukanlah sesuatu yang menghairankan bagi bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew membuat kenyataan mengguris hati umat Islam dan orang Melayu kerana struktur negara itu sendiri adalah berorientasikan perkauman.

Malah, meskipun Singapura cuba menonjolkan diri sebagai sebuah negara berbilang kaum, namun pada hakikatnya negara itu hanya memberi kelebihan kepada kaum Cina sahaja.

Menjelaskan lebih lanjut, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib Khalid berkata, perkara itu dapat dilihat kepada kemasukan kaum-kaum lain ke dalam kerajaan yang sangat terhad.

''Jalan masuk kepada kaum lain terutamanya Melayu ke dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran kerajaan sangat sukar kerana kelebihan hanya diberikan kepada kaum Cina sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai nasib orang Melayu Singapura yang terhad di bawah kerajaan Singapura selain takut untuk bersuara.

Dr. Mahathir dalam wawancara Mingguan Malaysia hari ini juga menyebut Kuan Yew langsung tidak menghormati agama Islam dan sensitiviti negara jiran asalkan mendapat apa yang dimahukan.

Kartini menambah, berdasarkan pengalaman beliau berinteraksi dengan ahli akademik di Singapura juga, dapat dilihat perbezaan ketara orang Melayu Singapura yang dihalang kemajuan oleh pemerintah menerusi pelbagai kekangan yang sengaja diwujudkan.

Justeru katanya, kenyataan sesetengah orang Melayu di sana kononnya mereka lebih maju dan tidak bergantung kepada subsidi seperti orang Melayu di Malaysia hanya memperlihatkan ketakutan mereka terhadap pemerintah.

''Perlu difahami Singapura merupakan sebuah negara autoritarian yang sangat tegas pelaksanaan undang-undangnya.

''Tidak ada ruang untuk mengeluarkan kenyataan sensitif atau mempersoalkan kerajaan di sana kerana akan dikenakan tindakan," kata beliau.

Sementara itu, pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan berkata, kritikan Kuan Yew terhadap negara-negara jirannya termasuk Malaysia dan Indonesia disebabkan pemimpin itu tidak pernah beranggapan Singapura sebahagian daripada ASEAN.

Sebaliknya, kata pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, Kuan Yew meletakkan Singapura jauh lebih maju berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Tambah beliau, keadaan itu juga boleh dilihat apabila Singapura cukup sukar untuk membuat kenyataan memuji dan saling mengagumi kejayaan negara-negara ASEAN lain.

''Tetapi kenyataan seperti itu sering kedengaran di kalangan pemimpin ASEAN lain atas semangat kesepakatan negara-negara serantau," katanya.

Ahmad Zaki menambah, sikap dan pendirian Kuan Yew itu juga memperlihatkan Singapura masih berada di takuk yang lama dalam dasar hubungan luar dan diplomatik mereka dengan negara-negara ASEAN.

Keadaan itu, kata beliau, mungkin dipengaruhi oleh ketakutan Singapura terhadap kemajuan ekonomi negara-negara ASEAN lain yang bakal mengatasi negara tersebut terutamanya Malaysia dan Indonesia.