Saturday, July 9, 2011

Yingluck perlu restu Raja Thai (wawancara utusan 4 Julai 2011)


Yingluck perlu restu Raja Thai


SEPERTI yang telah dijangkakan ramai pihak, Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum Thailand seterusnya mencatat nama Yingluck Shinawatra, 44, adik kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin, selaku Perdana Menteri wanita pertama negara itu.

Bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva akhirnya terpaksa mengakui kekalahan tersebut yang menyaksikan kejayaan besar bagi gerakan politik Baju Merah yang menyokong Thaksin.

Abhisit, 46, seorang ahli ekonomi yang dilahirkan di Britain dan mendapat pendidikan di Universiti Oxford sebelum ini telah memberi amaran Thailand boleh kembali bergolak jika Yingluck menang.

Penyokong Abhisit yang terdiri daripada pihak istana dan golongan kelas menengah serta atasan di bandar pula mahu Thaksin menjalani hukuman penjara dua tahun kerana kesalahan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Aktivis Baju Merah bagaimanapun tetap memberi sokongan padu kepada Yingluck dan menuduh Abhisit bersekongkol dengan tentera untuk bertindak sewenang-wenangnya, tuduhan yang berlarutan sejak tentera menggulingkan Thaksin pada 2006.

Yingluck berhasrat menubuhkan kerajaan campuran dengan segera berikutan kemenangan itu sementara Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan pilihan raya tersebut.

Bagi Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, apa yang berlaku telah dijangkakan.

“Gerakan Baju Merah dan sokongan terhadap Thaksin memberi impak besar dalam pilihan raya kali ini yang diterjemahkan melalui keputusannya serta kemenangan Yingluck.

“Yingluck merupakan ikon imej abangnya yang menarik sokongan simpati terhadap Thaksin di kalangan rakyat di utara Thailand terutamanya di luar bandar,” katanya.

Secara peribadi, Mohamad Faisol tidak tahu sejauh mana keberkesanan parti baru pimpinan adik Thaksin itu akan berjaya kerana semuanya akan bergantung kepada penerimaan seluruh rakyat Thailand.

Tambahnya, persoalan utama kini adalah hubungan parti Pheu Thai itu dengan Raja Thailand dan istana yang seterusnya bakal menentukan sokongan atau tentangan pihak tentera.

“Menjadi satu cabaran untuk parti itu mahupun Yingluck sendiri mendapat restu istana dan ini mampu menggugat pentadbiran mereka kerana majoriti rakyat Thailand sangat setia kepada Raja.

“Masalah juga mungkin timbul dengan rakyat di selatan Thailand yang tidak menyokong Yingluck selepas banyak peristiwa buruk menimpa mereka semasa pemerintahan Thaksin,” jelasnya.

Menurut beliau, faktor-faktor itu merupakan risiko besar kepada Yingluck seterusnya tidak memberi jaminan tinggi kepimpinannya akan bertahan lama.

“Thaksin dahulu juga menghadapi masalah sokongan daripada istana dan kerana itu Yingluck perlu mempunyai hubungan baik dengan istana jika mahu bertahan lama.

“Rakyat Thailand masih dalam konflik antara amalan demokrasi penuh dan monarki mutlak. Namun, kesetiaan dan sokongan mereka kepada Raja amat tinggi, ditambah pula tentera sendiri berada di bawah kuasa Raja,” ujarnya.

Pemerintahan monarki mutlak Thailand berakhir pada 1932 tetapi menyaksikan lebih 30 peralihan pemerintahan Perdana Menteru melalui rampasan kuasa.

Raja Bhumibol Adulyadej yang menaiki takhta sejak 9 Jun 1946 juga telah menyaksikan 15 rampasan kuasa, peralihan 27 Perdana Menteri dan pernah menggunakan pengaruhnya untuk menghalang dua rampasan tentera pada 1980-an.

Mohamad Faisol menegaskan, sukar dijangka apa yang bakal berlaku kelak kerana parti Pheu Thai dan Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu masih baru dan semuanya bergantung kepada penerimaan rakyat Thailand terlebih dahulu, terutamanya di Selatan.

“Hubungan dua hala dan diplomatik dengan Malaysia tiada masalah tetapi situasi pemerintahan dalaman Thailand masih belum dapat dipastikan.

“Saya membuat andaian perarakan penentangan seperti sebelum ini bakal berlaku semula terutamanya dengan usul pengampunan dan membawa balik Thaksin yang pasti akan dikemukakan parti Pheu Thai,” katanya.

Dalam pada itu, pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan turut bersetuju pengaruh Thaksin masih besar dan kuat walaupun selepas beberapa tahun digulingkan apabila adiknya yang langsung tiada asas politik boleh menang besar dan dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Masyarakat kampung dan luar bandar masih menyokong Thaksin kerana dasar ketika zaman pemerintahannya dahulu memang diperakui berjaya.

“Dasar ‘Thaksinomik’ itu berjaya mengeluarkan negara itu daripada belenggu masalah ekonomi dan memberi pekerjaan kepada penduduk luar bandar,” jelasnya.

Tambahnya, kerana itu juga Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand yang dilantik secara demokrasi paling lama bertahan selepas menang besar dalam dua pilihan raya.

“Parti yang menang mungkin akan menggunakan peluang ini untuk memasukkan nama Thaksin dalam senarai pesalah bagi pengampunan di bawah sokongan Yingluck selaku Perdana Menteri.

“Tetapi usaha membawa balik dan menaikkan kembali bekas Perdana Menteri itu akan dilawan pihak tentera dan rampasan kuasa juga mungkin akan berulang,” ujarnya.

Ahmad Zaki menegaskan, campur tangan tentera dalam perancangan Parti Pheu Thai dan Yingluck itu mungkin berlaku memandangkan istana dan golongan elit negara itu tidak menyebelahi mereka.

“Jika mereka berjaya membentuk kerajaan sekalipun dalam tempoh terdekat ini, saya fikir dalam sebulan sahaja lagi Baju Kuning yang menentang Thaksin akan kembali ke jalan raya.

Dengan perkembangan dan jangkaan perkembangan situasi politik di Thailand, tidak mengejutkan jika senario politik jalanan negara itu akan diulang tayang.

Semua sudut positif dan negatif corak politik Thailand juga wajar diambil iktibar negara lain terutamanya para pemimpin politik dalam mencorak negara sendiri sama ada mahu demokrasi yang aman dan harmoni atau memilih bentuk politik ‘ombak’.