Wednesday, July 29, 2009

pemimpin demokrasi paling lama ditahan terima anugerah Amnesty



DUBLIN 28 Julai - Vokalis utama kumpulan U2, Bono semalam mengumumkan penyampaian anugerah kehormat tertinggi Amnesty International kepada pemimpin demokrasi Myanmar paling lama ditahan, Aung San Suu Kyi pada konsert jelajah Eropahnya di Croke Park di sini.

Badan pemantau hak asasi manusia berkata, pihaknya berharap Anugerah Duta Suara Hati dapat melindungi Suu Kyi ketika berdepan dengan hukuman penjara.

"Jenayah yang dilakukannya adalah jika dia bebas menyertai pilihan raya pada 2010, dia pasti akan menang.

"Pada minggu ini, rejim kejam yang memenjarakannya akan memutuskan jika dia akan menghabiskan tempoh lima tahun lagi di dalam penjara," kata Bono.

Bono berharap anugerah kehormat antarabangsa yang baru diterima oleh Suu Kyi itu akan 'dapat membantu menyelamatkannya'.

Pemimpin-pemimpin Amnesty International berkata, anugerah itu telah diberikan sempena ulang tahun ke-20 penangkapan awal Suu Kyi pada 20 Julai 1989 semasa mengetuai satu kempen mengusir diktator tentera Myanmar.

Parti pembangkang yang diwakili Suu Kyi, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi telah memenangi pilihan raya nasional pada tahun 1990 tetapi pihak tentera enggan menyerahkan kuasa kepada Suu Kyi.

Suu Kyi yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 menjalani hukuman tahanan di rumah selama 14 tahun daripada 20 tahun.

Suu Kyi, 64, kini dibicarakan atas tuduhan melindungi seorang lelaki Amerika yang berenang merentasi tasik di kediamannya.

Kesalahan kerana melanggar syarat-syarat tahanan di rumah membawa kepada hukuman penjara lima tahun

Siapa bilang ISA tahanan tanpa bicara

(Tulisan ini disiarkan Utusan 29.7.09. Dua hari sebelum itu penulis yg merupakan bekas rakan sekerja semasa di Putrajaya menelefon dan berkata : cki, klu aku kena tangkap hang tolong call TS Musa bgtau aku hisap rokok SAAT ngan roti gulai kambing)

AMAT mengejutkan apabila kajian rambang yang dilakukan oleh Biro Undang-undang Tindakan Siswa Bersatu Universiti Kebangsaan Malaysia (TSB) pada 2001 ke atas 100 orang mahasiswa UKM yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menunjukkan kesemua mereka tidak pernah melihat, memegang dan menyelak sehelai demi sehelai Akta 82 tersebut yang keseluruhannya mengandungi 85 Seksyen, 4 Bahagian, 12 Bab dan 3 Jadual.

Saya tidak menyalahkan mereka dan ratusan ribu lagi rakyat Malaysia yang menentang ISA ini kerana jelas mereka menentang akta tersebut semata-mata kerana emosi dan sentimen. Membaca helaian demi helaian akta Parlimen juga bukanlah hobi yang menyeronokkan. Sebab itulah wujud jawatan peguam yang di bayar oleh anak guamnya supaya membaca dan memahami akta Parlimen mengikut selera pembayar upah professional peguam tersebut.

Daripada satu sudut, jelas juga kepada kita bahawa kempen pakatan pembangkang dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah berjaya meresap masuk ke dalam pemikiran kesemua ribuan penentang dengan momokan “ISA Zalim” dan “ISA Tahanan Tanpa Bicara”.

Pemikiran songsang ini melewati empat generasi kerana selalunya, bayi-bayi yang masih menyusu badan juga diusung menyertai demonstrasi anti ISA..

Tahniah juga kepada GMI kerana tanpa perlu berkempen menggunakan modal yang besar dan tanpa perlu ayat panjang berjela, beribu-ribu orang rakyat marhaen bersedia turun ke jalan raya menentang suatu akta yang mereka sendiri tak tahu hujung pangkalnya.

Jika tiada aral melintang, akan berlaku pertembungan unik dua kelompok penunjuk perasaan “pro dan anti” ISA pada 1 Ogos ini. Genap 37 tahun selepas kali terakhir semakan semula ISA dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional.

Demonstrasi 1 Ogos ini tidak sewajarnya berlaku. Penentangan terhadap ISA jika hanya bersandarkan alasan “Zalim dan Tanpa Bicara” sahaja tidak berbaloi dengan kerosakan harta benda yang bakal berlaku.

Ramai orang yang emosi menentang ISA. Hujah emosi juga boleh digunakan untuk menerangkan bahawa ISA perlu dipertahankan. Namun kali ini, dengan setitis ilmu dari lautan perundangan yang saya pelajari, saya akan berhujah dengan fakta.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) diluluskan oleh Parlimen pada 1960 dan disemak semula pada 1 Ogos 1972. ISA telah dipinda beberapa kali bermula dari 1962 dan kali terakhir dipinda pada 24 Ogos 1989.

Sebagai pengenalan kepada kononnya “Akta Zalim” ini, di muka surat 9 akta tersebut di nyatakan:

“Suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi keselamatan dalam negeri Malaysia, tahanan pencegahan, pencegahan subversif, penghapusan keganasan terancang terhadap orang dan harta di dalam kawasan tertentu di Malaysia, dan mengenai perkara yang bersampingan dengannya.”

[Semenanjung Malaysia-1 Ogos 1960, Akta 18 tahun 1960; Sabah, Sarawak - 16 September 1963, L.N. 232/1963]

BAHAWASANYA tindakan telah diambil dan tindakan selanjutnya diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia:

(1) Untuk menyebabkan, dan untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan, keganasan terancang terhadap orang dan harta; dan

(2) Untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang;

DAN BAHAWASANYA tindakan yang diambil dan ancaman yang dibuat itu memudaratkan keselamatan Malaysia;

DAN BAHAWASANYA Parlimen berpendapat perlu dihentikan atau dicegah tindakan itu;

Oleh hal yang demikian MENURUT Perkara 149 Perlembagaan MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya

Perkara 149 Perlembagaan menyatakan bahawa:

PART XI - KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan:

(a) Untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau

(b) Untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan di dalam Persekutuan; atau

(c) Untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau

(d) Untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undangundang; atau

(e) Yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

(f) Yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,

Maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), 163 jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

Jelas kepada kita bahawa Perlembagaan Persekutuan selaku Undang-undang tertinggi Negara menghalalkan Parlimen meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri, melebihi hak-hak asasi individu seperti yang terkandung dalam Fasal 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri boleh sesuka hati menahan sesiapa sahaja musuh politik beliau menggunakan akta ini?

Sebenarnya, bukanlah Perdana Menteri yang mula-mula mencadangkan “sipolan atau sipolan” ditahan di bawah ISA. Kenyataan ini ada benarnya kerana Perdana Menteri mempunyai jadual harian yang ketat dengan acara rasmi kerajaan. Kita sering membaca biografi bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia yang tidak mempunyai masa yang cukup waima bersama keluarga sendiri. Di mana lagi masa 24 jam sehari mahu diperuntukkan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat dan membuat risikan keselamatan sendiri.

Sebenarnya, ada pihak lain yang memang tugas bergajinya untuk menyiasat dan merisik berkaitan dengan hal ehwal keselamatan dalam negeri iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sememangnya, salah satu tugas utama anggota polis adalah menangkap penjenayah. Jelas bahawa kuasa polis menangkap penjenayah boleh berlaku dengan menggunakan Kanun Prosedur Jenayah (CPC), Kanun Keseksaan (PC) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

CPC dan PC prosedur tangkapan adalah sama. Secara gambaran asasnya, di bawah CPC dan PC, anggota polis meronda dan melihat seseorang di hadapan bank dalam keadaan “mencurigakan”. Percaya dengan naluri kepolisannya, maka polis itu akan mendekati suspek. Suspek kemudian memecut laju. Polis tersebut mengejar dan berlaku adegan tembak-menembak. Kereta suspek terbabas lalu polis menahan suspek.

Dalam masa 24 jam yang pertama, suspek boleh ditahan di dalam lokap polis untuk membantu siasatan. Selepas 24 jam, polis tidak lagi berhak menahan suspek tanpa izin tahanan reman daripada majistret.

Kebenaran tahanan reman ke atas suspek boleh diberikan oleh majistret kepada polis untuk tempoh maksimum 14 hari bagi menyambung soal siasat jika 24 jam yang pertama, polis gagal melengkapkan siasatan. Selepas tempoh maksimum 14 hari, suspek akan dituduh di mahkamah selepas polis mendapat izin untuk mendakwa daripada Peguam Negara atau suspek akan dibebaskan jika tiada izin mendakwa daripada Peguam Negara.

Di atas adalah gambaran situasi tahanan reman di bawah CPC dan PC. Terdapat banyak persamaan dan sedikit perbezaan apabila polis menahan seseorang di bawah ISA. Perbezaan hanyalah dari sudut tempoh masa tahanan, proses soal siasat dan watak-watak yang terlibat dengan proses siasatan sahaja. Kuasa polis untuk menahan seseorang di bawah ISA di nyatakan dalam seksyen 73 iaitu:

Kuasa untuk menahan orang yang disyaki

73.

(1) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai

(a) Bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan

(b) Bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

(2) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu tentang identitinya atau tentang maksud yang baginya dia berada di tempat dia ditemui dan yang disyaki oleh pegawai itu telah bertindak atau hampir bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

(3) Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8:

Dengan syarat bahawa:

(a) Dia tidak boleh ditahan lebih daripada dua puluh empat jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor;

(b) dia tidak boleh ditahan lebih daripada empat puluh lapan jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Penolong Penguasa; dan

(c) dia tidak boleh ditahan lebih daripada tiga puluh hari melainkan jika seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Timbalan Penguasa telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan itu kepada Ketua Polis atau kepada seorang pegawai polis yang ditetapkan oleh Ketua Polis bagi maksud itu, yang dengan serta-merta hendaklah melaporkan perkara yang sama kepada Menteri.

(4)-(5) (Dipotong oleh Akta A61).

(6) Kuasa yang diberikan kepada seorang pegawai polis oleh subseksyen (1) dan (2) boleh dijalankan oleh mana-mana anggota angkatan keselamatan, mana-mana orang yang melaksanakan tugas sebagai pengawal atau jaga di dalam suatu tempat terkawal dan oleh mana-mana orang lain yang pada amnya diberi kuasa bagi maksud itu oleh seorang Ketua Pegawai Polis.

(7) Mana-mana orang yang ditahan di bawah kuasa yang diberikan oleh seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai berada dalam jagaan yang sah, dan boleh ditahan di mana-mana penjara, atau di mana-mana balai polis, atau di mana-mana tempat lain yang serupa yang dibenarkan secara am atau khas oleh Menteri.

Hanya selepas 48 jam seseorang itu di tahan polis kerana "disyaki oleh polis" sebagai seorang yang boleh "mengancam keselamatan negara", barulah maklumat berkenaan penahanan tersebut di laporkan kepada menteri bertanggungjawab oleh Ketua Polis yang bertanggungjawab.

Jelas kepada kita bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan polis menangkap sesiapa di bawah ISA. Sekiranya di buktikan wujud arahan Perdana Menteri kepada polis untuk menangkap musuh politiknya di bawah ISA, ternyata Perdana Menteri berkenaan telah melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa yang amat serius.

Kes duluan yang boleh dijadikan panduan yang keputusannya di kekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2003 adalah kes Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu yang didapati bersalah di bawah Ordinan Darurat kerana memberi arahan kepada polis supaya mengugut saksi kes liwatnya adalah satu contoh arahan yang tidak boleh diberi oleh mana-mana menteri atau Perdana Menteri Malaysia kepada polis.

Seseorang yang ditahan untuk proses soal siasat oleh polis mengikut ISA di atas boleh ditahan untuk membantu siasatan untuk tempoh maksimum 60 hari. Hanya selepas tempoh maksimum berkenaan, hasil siasatan polis akan dipersembahkan kepada menteri dan terpulanglah pula kepada menteri berkenaan sama ada untuk terus menahan suspek pengancam keselamatan negara itu atau tidak.

Beza watak dalam CPC dan ISA adalah majistret atau pegawai polis, Peguam Negara atau menteri dan perbezaan masa maksimum tahanan sama ada 14 hari atau 60 hari. Proses yang lain adalah sama.

Kita lihat peruntukan Seksyen 8 ISA yang memberikan kuasa kepada menteri untuk mengizinkan polis menahan seseorang di bawah ISA selama tempoh maksimum 2 tahun yang menyatakan bahawa:

Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang

8 (1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.

CATATAN: Lihat Nota Pesuruhjaya di muka surat 83.

Nota Pesuruhjaya di muka surat 83 menyatakan bahawa:

Nota Pesuruhjaya

PENGESAHAN PERINTAH TAHANAN DAN PENAHANAN DAN INDEMNITI

“5. (1) Jika sesuatu perintah tahanan telah dibuat di bawah sub seksyen 8(1) Akta ibu terhadap mana-mana orang semasa tempoh antara tarikh mula berkuat kuasanya akta ibu dan tarikh mula berkuat kuasanya akta ini (kemudian daripada ini disebut "tempoh peralihan"), maka perintah tahanan itu dan penahanan yang dibuat menurutnya semasa tempoh peralihan itu, dan penerusannya selepas itu, jika ada, adalah dengan ini diisytiharkan sebagai sah dan menurut undang-undang, dan hendaklah disifatkan sebagai, dan sentiasa dan pada setiap masa menjadi sah dan menurut undang-undang, walaupun pada bila-bila masa semasa jangka masa perintah tahanan itu dia telah ditahan di mana-mana tempat selain tempat tahanan yang disebut dalam sub seksyen 8(3) Akta ibu, atau terus ditahan di tempat yang dia telah ditahan di bawah seksyen 73 Akta ibu selepas tempoh maksimum yang diperuntukkan baginya di bawah subseksyen 73(3) Akta ibu tamat, atau telah berada dalam perjalanan dalam jagaan polis atau dalam apa-apa jagaan lain ke tempat tahanan seperti yang disebut terdahulu, atau terdapat apa-apa kelengahan dalam menyampaikan perintah tahanan itu kepadanya, atau perintah tahanan itu telah disampaikan kepadanya di mana-mana tempat selain tempat tahanan itu, atau terdapat apa-apa kecacatan yang berhubungan dengan penyampaian perintah tahanan itu kepadanya.

Menteri Dalam Negeri menurut Seksyen 8 secara perundangannya memiliki dua jenis kuasa iaitu kuasa mengeluarkan Perintah Tahanan dan Perintah Sekatan. Seiring dengan istilahnya, satu perintah menghalalkan penahanan manakala satu perintah lagi mengharamkan penahanan, semata-mata menyekat sahaja. Di atas adalah peruntukan berkenaan Perintah Tahanan manakala Seksyen 8(5) menjelaskan pula tentang Perintah Sekatan iaitu :-

(5) Jika menteri berpuas hati bahawa bagi mana-mana maksud yang disebut dalam sub sekyen (1) perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau supaya sekatan dan syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu tidak perlu untuk menahannya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut "perintah sekatan") yang mengenakan ke atas orang itu semua atau mana-mana sekatan dan syarat yang berikut:

(a) Bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan yang dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktivitinya dan tempat kediaman dan pekerjaannya;

(b) Bagi melarangkan daripada berada di luar rumah antara apa-apa waktu yang dinyatakan dalam perintah itu kecuali di bawah kuasa suatu permit bertulis yang diberikan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan sedemikian;

(c) Bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya mengikut apa-apa cara pada bila-bila masa dan kepada mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan dalam perintah itu;

(d) Bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada, mana-mana organisasi atau persatuan atau daripada mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti politik; dan

(e) Bagi melarangnya daripada membuat perjalanan di luar sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu kecuali mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan dalam perintah itu.

Hasil daripada gabungan frasa perundangan yang memeningkan kepala pembaca seperti ayat-ayat di atas bermaksud Perdana Menteri tidaklah berkuasa menahan musuh politik beliau secara semberono kerana yang sebenarnya berkuasa membuat perintah penahanan adalah Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Keselamatan Dalam Negeri.

Hanya jika Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, maka barulah benar sebahagian tuduhan rambang berkenaan. Itupun selepas beliau menandatangani Perintah Tahanan tersebut atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri dan bukannya sebagai Perdana Menteri. Jika berlaku salah disignasi jawatan ketika menandatangani Perintah Tahanan berkenaan maka akan menjadi satu sebab teknikal mengapa Perintah Tahanan tersebut menjadi tidak sah.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan bahawa Menteri boleh menahan seseorang di bawah ISA selama mana yang Menteri itu suka?

Juga satu kenyataan yang tidak tepat. Menurut Seksyen 13 ISA yang menyatakan bahawa:

Kajian semula

13. *(1) Tiap-tiap perintah atau arahan yang dibuat atau diberikan oleh Menteri di bawah subseksyen 8(1), (5) atau (7) atau di bawah seksyen 10 hendaklah, selagi ia masih berkuat kuasa, dikaji semula tidak kurang daripada sekali dalam tiap-tiap enam bulan oleh suatu Lembaga Penasihat:

Dengan syarat bahawa dalam hal sesuatu perintah tahanan yang terhadapnya representasi telah dibuat, kajian semula yang pertama, sama ada mengenai sesuatu perintah tahanan yang dibuat di bawah sub seksyen 8(1) atau mengenai sesuatu perintah tahanan yang dilanjutkan di bawah sub seksyen 8(7) yang baginya proviso kepada sub seksyen yang akhir disebut itu terpakai, hendaklah diadakan tidak lewat daripada enam bulan selepas selesainya pendengaran representasi itu oleh Lembaga Penasihat yang kepadanya representasi itu telah dibuat.

(2) Lembaga Penasihat hendaklah, apabila selesai tiap-tiap kajian semula di bawah sub seksyen (1), dengan serta-merta menyerahkan kepada Menteri suatu laporan bertulis mengenai tiap-tiap kajian semula itu, dan boleh membuat dalamnya apa-apa syor yang difikirkannya patut.

*CATATAN: Sub seksyen ini telah dimasukkan oleh Akta A61 dan mula berkuat kuasa pada 01-09-1972 dan sebelum tarikh itu peruntukan berikut yang dimasukkan oleh Ordinan No. 4 tahun 1969 (P.U. (A) 186/1969) terpakai:

"(1) Tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah perenggan 8(1)(a) boleh, selagi ia berkuat kuasa, dikaji semula dari semasa ke semasa oleh suatu Lembaga Penasihat mengikut budi bicara Pengerusinya".

Seksyen 13 ISA ini menjelaskan kepada kita bahawa Menteri hanya berkuasa membenarkan tahanan untuk tempoh maksimum 2 tahun yang pertama. Tempoh yang asalnya di "arahkan" oleh Menteri itu pun bukan bersifat "mutlak" kerana Pengerusi Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung boleh mengenepikan tempoh maksimum tersebut mengikut budi bicara beliau. Kelihatan Pengerusi Lembaga Penasihat mempunyai kuasa yang lebih besar daripada menteri.

Bagaimanakah prosedur siasatan Lembaga Penasihat ISA ini?

Seksyen 14,15 dan 16 ISA menceritakan bahawa:

Kuasa untuk memanggil saksi

14. Tiap-tiap Lembaga Penasihat hendaklah, bagi maksud akta ini tertakluk kepada Seksyen 16, mempunyai segala kuasa mahkamah bagi memanggil dan memeriksa saksi, mengendalikan sumpah atau ikrar, dan bagi memaksa dokumen dikemukakan.

Anggota Lembaga Penasihat disifatkan sebagai pekhidmat awam 15. Tiap-tiap anggota sesuatu Lembaga Penasihat hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574], dan hendaklah mempunyai, jika apa-apa tindakan atau guaman dibawa terhadapnya bagi apa-apa tindakan yang dilakukan atau yang ditinggalkan daripada dilakukan dalam pelaksanaan tugasnya di bawah Bab ini, perlindungan dan keistimewaan yang sama sebagaimana yang diberikan oleh undangundang kepada seorang Hakim dalam pelaksanaan jawatannya.

Pendedahan maklumat

16. Tiada apa-apa jua dalam Bab ini atau dalam mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya boleh menghendaki Menteri atau mana-mana anggota Lembaga Penasihat atau mana-mana pekhidmat awam untuk mendedahkan fakta atau mengemukakan dokumen yang difikirkannya sebagai bertentangan dengan kepentingan negara jika didedahkan atau dikemukakan.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan "ISA tahanan tanpa bicara?"

Tuduhan ini amatlah tidak bertanggungjawab. Mungkin pemfitnah membuat tuduhan tersebut bersandarkan kepada satu-satunya peruntukan berikut :-

Nota Pesuruhjaya

PENGESAHAN PERINTAH TAHANAN DAN PENAHANAN DAN INDEMNITI

Akta Keselamatan Dalam Negeri (Pindaan) 1988, [Akta A705] melalui seksyen 5 telah meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (kemudian daripada ini disebut "Akta ibu") yang hendaklah dibaca bersama peruntukan baru yang berikut mulai dari 15 Julai 1988:

(2) Tiada tindakan, guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk, boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuat kuasanya akta ini, atau, jika dibawa atau dimulakan sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini, terus dikekalkan, bagi atau disebabkan oleh, atau berkenaan dengan, apa-apa jua yang dilakukan dengan sahnya berhubung dengan perintah tahanan atau penahanan yang diisytiharkan sebagai sah dan menurut undang-undang di bawah sub seksyen (1), kecuali bahawa peruntukan sub seksyen ini tidaklah terpakai bagi apa-apa prosiding undang-undang sedemikian yang telah selesai dan keputusan muktamad mahkamah telah diberikan berkenaan dengannya sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini atau bagi apa-apa rayuan berkenaan dengan keputusan muktamad itu."

Sedangkan pemfitnah berkenaan membutakan mata mentulikan telinga terhadap

6 lagi seksyen dalam ISA yang membuka ruang seluas-luasnya untuk seseorang itu mencabar keputusan Menteri .

6 seksyen tersebut adalah Seksyen 79 dan 80 ISA yang menyatakan bahawa :-

Bidang kuasa mahkamah

79. Tanpa menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini, selain suatu kesalahan yang boleh dihukum mati, dan untuk menjatuhkan apa-apa hukuman yang ditetapkan baginya tidak melebihi denda sebanyak lima ribu ringgit atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Sekatan ke atas pendakwaan

80. Sesuatu pendakwaan bagi apa-apa kesalahan terhadap Akta ini yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tujuh tahun atau tidak boleh dimulakan kecuali dengan keizinan Pendakwa Raya:

Dengan syarat bahawa, tertakluk kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang berhubungan dengan tatacara jenayah

(a) seseorang yang dipertuduhkan dengan suatu kesalahan sedemikian boleh ditangkap, atau suatu waran penangkapannya boleh dikeluarkan dan dilaksanakan, dan mana-mana orang sedemikian boleh direman dalam jagaan atau atas jaminan, walaupun keizinan Pendakwa Raya mengenai permulaan pendakwaan bagi kesalahan itu belum lagi diperoleh, tetapi kes itu tidak boleh didakwa selanjutnya sehingga keizinan itu diperoleh; dan

(b) jika seseorang dibawa ke hadapan suatu mahkamah di bawah seksyen ini sebelum Pendakwa Raya memberikan keizinannya kepada pendakwaan itu, pertuduhan itu hendaklah dijelaskan kepadanya tetapi dia tidak boleh dipanggil untuk membuat pli dan peruntukan undang-undang itu hendaklah diubahsuaikan dengan sewajarnya.

Sekyen 8B ISA pula menyatakan bahawa:

Kajian semula kehakiman tindakan atau keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Menteri

8B. (1) Tidaklah boleh diadakan apa-apa kajian semula kehakiman di dalam mana-mana mahkamah, dan tiada mahkamah boleh mempunyai atau menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri pada menjalankan kuasa budi bicara mereka mengikut Akta ini, kecuali mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam Akta ini yang mentadbir tindakan atau keputusan itu.

(2) Kecualian mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam sub seksyen (1) tidaklah terpakai jika alasan seperti yang diperihalkan dalam seksyen 8A.

Apakah pula maksud "kajian semula kehakiman”?

Seksyen 8C selanjutnya menyatakan bahawa:

Tafsiran "kajian semula kehakiman"

8C. Dalam Akta ini, "kajian semula kehakiman" termasuklah prosiding yang dimulakan dengan cara:

(a) Permohonan untuk mendapatkan mana-mana perintah prerogatif mandamus, larangan dan certiorari;

(b) Permohonan untuk mendapatkan deklarasi atau injunksi;

(c) Writ habeas corpus; dan

(d) Apa-apa guaman lain, tindakan atau prosiding undang-undang lain yang berhubungan dengan atau berbangkit daripada apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri mengikut Akta ini.

Mengapakah tiba-tiba tertulis kuasa Yang di-Pertuan Agong selain kuasa Menteri dalam kedua-dua seksyen di atas? Bukankah di canangkan se-Malaya bahawa semata-mata Perdana Menteri yang berkuasa penuh? Ternyata fitnah telah tersebar luas.

Seorang yang di tahan di bawah Sekyen 8 ISA boleh mempertikaikan perintah tahanan oleh Menteri tersebut kepada sebuah Lembaga Penasihat yang di lantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 151(2) Perlembagaan Persekutuan.

Anda mula terkejut? Seksyen 11 dan 12 ISA selanjutnya menyatakan bahawa:

Representasi terhadap perintah tahanan

11. (1) Suatu salinan tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah sub seksyen 8(1) hendaklah dengan seberapa segera yang boleh selepas dibuat disampaikan kepada orang yang dimaksudkan olehnya, dan tiap-tiap orang itu berhak untuk membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(2) Bagi maksud membolehkan seseorang untuk membuat representasi di bawah sub seksyen (1) dia hendaklah, pada masa perintah itu disampaikan kepadanya:

(a) Diberitahu mengenai haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat di bawah subseksyen (1); dan

(b) Diberikan oleh Menteri suatu pernyataan bertulis-

(i) Mengenai alasan yang atasnya perintah itu dibuat;

(ii) Mengenai pernyataan fakta yang atasnya perintah itu diasaskan; dan

(iii) Mengenai apa-apa butir lain, jika ada, yang pada pendapat Menteri mungkin semunasabahnya dikehendaki olehnya supaya dapat dia membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh membuat kaedah tentang cara bagaimana representasi boleh dibuat di bawah seksyen ini dan bagi mengawal selia tatacara Lembaga Penasihat.

Laporan Lembaga Penasihat

12. (1) Bilamana mana-mana orang telah membuat apa-apa representasi di bawah subseksyen 11(1) kepada suatu Lembaga Penasihat, Lembaga Penasihat itu hendaklah, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh rayuan itu diterima olehnya, atau dalam apa-apa tempoh selanjutnya yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, menimbangkan representasi itu dan membuat syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong.

(2) Apabila menimbangkan syor Lembaga Penasihat di bawah seksyen ini, Yang di-Pertuan Agong boleh memberi Menteri apa-apa arahan, jika ada, yang difikirkannya patut mengenai perintah yang dibuat oleh Menteri itu; dan tiap-tiap keputusan Yang di- Pertuan Agong mengenainya, tertakluk kepada seksyen 13, muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Keenam-enam seksyen di atas seharusnya mengubah terus persepsi kita terhadap momokan pihak-pihak tertentu yang mereka sendiri keliru dengan tuntutan perjuangan mereka. Jelas kepada kita bahawa kuasa Lembaga Penasihat dan Baginda Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong melalui kedua-dua seksyen di atas rupanya "Puasnya hati Baginda" adalah jauh lebih penting daripada "Puasnya hati" seorang Menteri Dalam Negeri.

Seperkara yang menarik untuk anda tahu iaitu tahukah anda bahawa anda boleh menjadi "jutawan segera" jika anda menang kes di mahkamah kerana di tahan di bawah ISA? Pada 18 Oktober 2007, seorang bekas tahanan ISA daripada parti PAS bernama Malik Hussin telah di perintahkan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar kerajaan Malaysia membayar gantirugi sebanyak RM 2.5 juta kepada beliau atas alasan penahanan beliau di bawah Seksyen 8 ISA oleh Menteri telah di buat secara salah di sisi undang-undang dan berniat jahat "mala fide". Aktivis PAS telah menjadi jutawan kerana menang bicara terhadap "Akta Tanpa Bicara". Pelik kan?

Selain daripada mencabar keputusan Menteri yang "telah puas hatinya" itu, seseorang tahanan ISA juga boleh menjadikan aspek prosedur penahanan polis untuk tempoh tahanan 48 jam yang pertama sahaja, sama ada manual (Standard Operation Prosedur) penahanan telah di patuhi sebaiknya atau tidak. Alasan teknikal seperti ini amat popular dihujahkan oleh peguam yang tiada modal sangat untuk mencabar dari aspek "Perintah Tahanan oleh Menteri". Selain daripada seksyen 73 ISA yang telah dihuraikan pada bahagian awal penulisan ini terdapat 3 lagi seksyen yang menerangkan tentang prosedur penahanan :-

Penggunaan senjata maut dalam melaksanakan penangkapan

74. (1) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain maka sahlah bagi mana-mana pegawai polis untuk:

(a) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang boleh ditahan di bawah mana-mana perintah yang dibuat di bawah seksyen 8;

(b) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang boleh ditangkap dan ditahan di bawah subseksyen 73(1) atau (2);

(c) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang dia mempunyai, dalam segala hal keadaan hal itu, alasan yang munasabah bagi mengesyaki telah melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini atau terhadap mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa ini dinyatakan dalam Jadual Pertama;

(d) Mengatasi tentangan yang menggunakan kekerasan yang diberikan oleh mana-mana orang yang hendak ditangkap itu; atau

(e) Mengelakkan pelarian daripada tangkapan atau penyelamatan mana-mana orang yang ditangkap sebagaimana yang disebut terdahulu, menggunakan apa-apa kekerasan yang semunasabahnya perlu, dalam hal keadaan hal itu, dan kekerasan itu boleh meliputi penggunaan senjata maut.

(2) Tiap-tiap orang yang ditangkap kerana apa-apa kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin selepas penangkapannya diberikan amaran dengan jelasnya mengenai kemungkinan dia ditembak jika dia berusaha untuk melarikan diri daripada jagaan.

(3) Kuasa yang diberikan kepada seorang pegawai polis oleh subseksyen (1) boleh dijalankan oleh mana-mana anggota angkatan keselamatan, dan oleh mana-mana orang yang melaksanakan tugas pengawal atau jaga di dalam sesuatu tempat terkawal, dan oleh mana-mana orang lain yang diberi kuasa secara am bagi maksud itu oleh Ketua Pegawai Polis.

(4) Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh mengurangkan hak pertahanan persendirian yang terkandung dalam seksyen 96 hingga 106 Kanun Keseksaan.

Penerimaan pernyataan sebagai keterangan

75. (1) Jika mana-mana orang dipertuduh dengan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini atau terhadap mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan dalam Jadual Kedua, apa-apa pernyataan, sama ada pernyataan itu terjumlah kepada suatu pengakuan atau tidak atau secara lisan atau bertulis, yang dibuat pada bila-bila masa, sama ada sebelum atau selepas orang itu dipertuduh dan sama ada dalam perjalanan suatu penyiasatan polis atau tidak dan sama ada atau tidak keseluruhan atau sebahagiannya adalah jawapan kepada soalan, oleh orang itu kepada atau dalam pendengaran mana-mana pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor dan sama ada atau tidak diterjemahkan kepadanya oleh mana-mana pegawai polis lain atau mana-mana orang lain yang berkenaan atau tidak, dalam penangkapan itu, walau apa pun apa-apa yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, boleh diterima sebagai keterangan di perbicaraannya dan, jika orang itu menawarkan dirinya sebagai seorang saksi, apa-apa pernyataan sedemikian boleh digunakan dalam pemeriksaan balas dan bagi maksud mencabar kebolehpercayaannya:

Dengan syarat bahawa:

(a) Tiada pernyataan sedemikian boleh diterima atau digunakan sebagaimana yang disebut terdahulu:

(i) Jika ternyata pada mahkamah bahawa pernyataan itu dibuat oleh sebab apa-apa dorongan, ugutan atau janji yang berkenaan dengan pertuduhan terhadap orang itu, yang datangnya daripada seseorang yang berkuasa dan, pada pendapat mahkamah mencukupi, untuk memberi orang itu alasan yang didapati munasabah oleh orang itu untuk menganggap bahawa dengan membuat pernyataan itu dia akan mendapat apa-apa faedah atau dia boleh mengelakkan apa-apa durjana keduniaan berkaitan dengan prosiding terhadapnya; atau

(ii) Dalam hal sesuatu pernyataan yang dibuat oleh orang itu selepas dia ditangkap, melainkan jika mahkamah berpuas hati bahawa dia telah diberikan amaran dengan perkataan yang berikut yang bermaksud sedemikian:

“Adalah menjadi kewajipan saya untuk memberi amaran kepada kamu bahawa kamu tidak diwajibkan untuk menyatakan apa-apa atau menjawab apa-apa soalan, tetapi apa-apa yang kamu nyatakan sama ada sebagai menjawab sesuatu soalan atau tidak, boleh diberikan sebagai keterangan"; dan

(b) Suatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang sebelum ada masa untuk memberi amaran kepadanya tidaklah boleh menjadi tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata kerana dia tidak diberikan amaran jika dia diberikan amaran dengan seberapa segera yang mungkin.

(2) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, seseorang yang dituduh melakukan suatu kesalahan yang baginya subseksyen (1) terpakai tidaklah terikat untuk menjawab apa-apa soalan yang berhubungan dengan hal itu selepas apa-apa amaran sebagaimana yang disebut terdahulu telah diberikan kepadanya.

(3) Seksyen ini hendaklah terpakai berhubung dengan manamana orang yang dibicarakan selepas permulaan kuat kuasa Akta ini, sama ada atau tidak prosiding terhadap orang itu telah dimulakan dan sama ada atau tidak pernyataan yang berkaitan telah dibuat sebelum permulaan kuat kuasa itu.

Publisiti perintah

81. (1) Apabila apa-apa perintah atau peraturan dibuat atau arahan atau suruhan diberikan di bawah Akta ini, Menteri atau pihak berkuasa yang lain yang membuat perintah atau peraturan itu atau memberikan arahan atau suruhan itu hendaklah menyebabkan notis mengenai kuat kuasanya diberikan dengan seberapa segera yang mungkin dengan apa-apa cara yang difikirkannya perlu bagi membawanya kepada pengetahuan semua orang yang pada pendapatnya patut tahu mengenainya, dan perintah, peraturan, arahan atau suruhan itu hendaklah mempunyai kuat kuasa sebaik sahaja notis yang disebut terdahulu telah diberikan, tanpa disiarkan dalam Warta.

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa peruntukan khas yang terkandung dalam Akta ini atau mana-mana kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya, suatu notis yang hendaklah disampaikan kepada mana-mana orang bagi maksud mana-mana seksyen boleh disampaikan dengan meninggalkannya, atau dengan menghantarnya melalui pos dalam suatu surat yang dialamat kepada orang itu, di tempat kediaman atau tempat perniagaannya yang akhir atau biasa.

(3) Mana-mana perintah atau peraturan yang dibuat atau apa-apa arahan atau suruhan yang diberikan di bawah Akta ini boleh pada bila-bila masa semasa penerusannya dikensel oleh orang yang diberikan kuasa untuk membuat perintah atau peraturan itu atau untuk memberikan arahan atau suruhan itu, tetapi tanpa menyentuh kesahannya sebelum itu atau apa-apa jua yang dilakukan di bawahnya atau kepada kuasa orang itu untuk membuat suatu perintah atau peraturan baru atau untuk memberikan suatu arahan atau suruhan baru di bawah peruntukan itu.

Kepada anda yang biasa mengikuti perbicaraan di mahkamah, anda mungkin biasa melihat, hanya kerana sedikit ketidakpatuhan elemen kepada perkataan "dan", "atau", "hendaklah", "bolehlah" dan sebagainya yang di ulang beberapa kali dalam susunan ayat-ayat dalam mana-mana Akta Parlimen pun, hal sekecil itu pun boleh menyebabkan seorang peguam berhujah tanpa henti selama 2 minggu dan kes ditangguhkan selama 6 bulan semata-mata untuk menunjukkan bahawa anak guamnya teraniaya.

Siapa pula Ahli Lembaga Penasihat?

Lembaga Penasihat di tubuhkan di bawah Fasal 151(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu :-

(2) Sesuatu lembaga penasihat yang ditubuhkan bagi maksud Perkara ini hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jadi jelas kepada kita bahawa bukan calang-calang individu yang layak menganggotai Lembaga Penasihat ini dan kuasa mereka jika tidak pun sama adalah melebihi kuasa Menteri Dalam Negeri. Ahli Lembaga ini juga bukanlah "orang politik" . Oleh itu tindakan mereka haruslah di buat tanpa rasa takut dan pilih kasih demi memikul amanah Allah di muka bumi ini.

Cadangan pindaan ISA

Hanya undang-undang tuhan yang sempurna. Undang-undang ciptaan manusia tetap memiliki kelemahan. Namun sesuai dengan kepimpinan YAB Dato Seri Najib yang kelihatan mahu meminda ISA, saya mengemukakan beberapa cadangan berikut :-

1. Mungkin kita dapat mengesan satu frasa yang di gunakan dalam seksyen 8 ISA yang mungkin kelihatan agak "diktator" dan "gila kuasa" iaitu frasa "Jika Menteri berpuas hati…". Dicadangkan sedikit pindaan terhadap frasa ayat tersebut kepada "Jika Menteri, selepas meneliti laporan siasatan polis...”. Mungkin struktur baru ayat ini boleh mengelakkan seseorang berdosa kerana memfitnah.

2. Kuasa polis untuk menahan suspek pengganas selama tempoh maksimum 60 hari wajar di pinda kepada 30 hari sahaja.

3. Penahanan suspek pengganas melebihi 48 jam menurut seksyen 73(3)(b) ISA dengan kebenaran Pegawai Polis berpangkat lebih tinggi dari Penolong Penguasa wajar di pinda kepada "dengan kebenaran Majistret" demi untuk mengelakkan salahguna kuasa di pihak polis.

4. Seksyen 5(2) Nota Pesuruhjaya yang di baca bersama seksyen 8 (1) ISA yang di jadikan satu-satunya hujah "tanpa bicara" wajar dimansuhkan atas alasan "kerana mengelirukan" .

5. Seksyen 16 ISA yang tidak mewajibkan Menteri atau Lembaga Penasihat daripada mendedahkan fakta yang difikirkan bertentangan dengan kepentingan Negara memerlukan sedikit pindaan. Pendedahan tersebut perlu dijadikan mandatori dan maklumat berkenaan perlu juga di kawal oleh Akta Rahsia Rasmi.

Kesimpulan

Saya berharap agar tulisan ini dapat membuka pintu hati manusia agar berfikiran rasional dalam tindakan. Fikirkan semula, sama ada berbaloi atau tidak anda turun ke jalan raya pada 1 Ogos 2009 nanti?. Adakah betul persepsi negatif anda terhadap ISA? Adakah anda dihukumkan wajib untuk hanya mempercayai kata-kata retorik segolongan ahli politik yang sedang rakus berkehendakkan kuasa? Adakah anda percaya bulat-bulat pidato berapi seorang yang kempunan menjadi Perdana Menteri? Adakah anda percaya kepada hujah-hujah ratusan barisan peguam yang menentang ISA kerana mereka ini tidak lebih umpama askar upahan professional yang dibayar secara "cash or kind"?

Sedarkah anda bahawa dengan tindakan anda menentang ISA, anda bermaksud menentang kuasa Yang Di Pertuan Agong kerana Baginda lebih berkuasa daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri. Ingat, polis yang menangkap, Menteri yang mengeluarkan Perintah Tahanan manakala Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berkuasa membebaskan tahanan Kemunting lebih awal dari masanya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan telah menyeru kepada kumpulan Penentang ISA agar jangan berdemonstrasi pada 1 Ogos nanti. Jika demonstrasi diteruskan, maka Ibrahim yang telah dua kali ditahan ISA akan turut turun ke jalan raya menyokong ISA. Kata dua daripada Presiden Perkasa ini perlu di beri perhatian. Jika GMI membatalkan hasrat mereka, kumpulan Tok Him juga akan membatalkan hasrat berdemonstrasi pada hari yang sama.

Sememangnya boleh di hujah dari kaca mata hak asasi manusia, sejuta rakyat untuk berhimpun. Namun hak sejuta rakyat tersebut tidak akan melebihi hak asasi seorang anak kecil untuk bermain-main di taman KLCC selepas seminggu ibu dan bapanya sibuk bekerja.

MOHD KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ ialah Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM). Beliau boleh dihubungi melalui emel: azamaziznco@gmail.com

Tuesday, July 28, 2009

ahmad zaki uum : transisi thailand 2009 (thailand)



Perkembangan politik di Thailand sejak sekian lama sentiasa dibayangi dengan pelbagai permasalahan. Selain dibebani dengan isu pergolakan politik yang tidak stabil, Thailand turut berhadapan dengan beberapa isu yang sudah dianggap sebagai kemelut tradisi yang sukar dipadam.

Isu berkaitan termasuklah campur tangan tentera di dalam politik, rentetan peristiwa rampasan kuasa, percaturan serta persaingan golongan birokrat dan teknokrat, dilema kuasa raja di dalam sistem pemerintahan serta isu pemberontakan di kawasan wilayah Selatan Thai. Gabungan kesemua kemelut ini menyebabkan usaha untuk memantapkan kestabilan politik sering menemui jalan buntu.

Semasa pemerintahan Thaksin Shinawatra (2001-2005) wujud tanggapan yang kuat bahawa pemerintahan beliau bakal membawa satu transisi yang besar ke arah mewujudkan kestabilan politik yang lebih kukuh di Thailand.

Pendapat ini berlandaskan kepada sokongan padu terhadap partinya Thai Rak Thai (TRT) untuk memerintah Thailand. Untuk rekod, TRT memenangi pilihan raya 2001 dengan kemenangan majoriti mutlak dan menguasai 296 daripada 500 kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan sebegini merupakan sesuatu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana parti politik di Thailand sebelum ini.

Bahkan, Thaksin juga turut mencipta rekod sebagai Perdana Menteri Thailand yang pertama berjaya melengkapkan tempoh jawatan selama empat tahun. Dalam pilihan raya umum pada 6 Februari 2005 sekali lagi Thaksin dan partinya membuktikan bahawa rakyat Thailand memilih mereka untuk mentadbir negara.

Lidah rasmi Bangkok ‘The Nation’ ketika itu menyebut bahawa Thaksin secara jelas meraih sokongan yang padu dan kuat dalam sejarah politik Thailand.

Atas dasar ini maka tidak hairanlah wujudnya tanggapan bahawa kehadiran Thaksin akan membawa satu transisi yang lebih bermakna kepada Thailand. Ternyata dalam perkara ini Thaksin terlebih dahulu membuktikannya dengan bertindak pantas mengeluarkan Thailand dari belenggu kemelesetan ekonomi 1997 dengan cara beliau sendiri.

Dalam satu ucapannya pada tahun 2003 berhubung perlunya kesegeraan melakukan perubahan Thaksin menyebut “we don’t even have to wait until 2020 like Malaysia to realise the goal of becoming a developed country. We can do it faster”.

Kesedaran Thaksin terhadap keperluan segera melakukan perubahan adalah atas dasar dunia kini bergerak dan berubah dengan pantas. Menurutnya “the world was changing rapidly because of technology, free trade, the trend towards regionalism, environmentalism and the coming of the information society. Thailand’s politics needed to change to prepare ourselves to cope with globalization and the international political system which is increasingly ruthless with developing countries”

Walau bagaimanapun, Thaksin begitu menyedari bahawa setiap usaha untuk melaksanakan perubahan drastik pasti menemui halangan serta cabaran. Saat yang paling tidak menyenangkan apabila akan ada kritikan serta cemuhan terhadap sedikit kecacatan yang berlaku kepada pembaharuan yang ingin dilakukan sebelum ianya menjadi sempurna.

Dalam berhadapan situasi sebegini, Thaksin sering menggambarkannya seperti berikut : “you know an apple is a very sweet fruit. If you make it into apple juice, it is even sweeter to drink. But in the process of making the juice, the apple must be chopped up and crushed into small pieces that will look ugly. Thailand is the same as an apple. It is going throught that same process of juice making. It will be ugly until it gets better”

Namun, apa yang cuba dilakukan oleh Thaksin hanya bertahan separuh jalan kerana permasalahan tradisi Thailand tetap tidak memberi peluang yang cukup kepada beliau untuk terus merencanakan pelan transisinya. Thaksin akhirnya dijatuhkan dalam satu siri rampasan kuasa yang berlaku pada 19 September 2006.

Thailand selepas Thaksin mengharapkan akan berlakunya perkembangan yang lebih positif terhadap kestabilan politik dan pembangunan negara. Tetapi apa yang dipaparkan ternyata meleset apabila soal siapa patut menjadi Perdana Menteri menjadi pertikaian panjang.

Thailand ketika itu turut menyaksikan kebangkitan kumpulan yang menamakan diri mereka Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD). Demonstrasi yang dilakukan oleh kumpulan ini bukan sahaja berjaya menjatuhkan penguasaan Thaksin bahkan turut berjaya menjatuhkan dua Perdana Menteri yang dilantik selepas itu iaitu Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat.

Kedua-dua mereka turut berdepan dengan pelbagai kesulitan akibat terkena tempias arus penentangan kumpulan PAD terhadap Thaksin Shinawatra.

Kini, pentas pemerintahan Thailand diterajui oleh Abhisit Vejjajiva yang mewakili parti Demokrat. Perlantikan Abhisit sebagai Perdana Menteri yang ke-27 sekali lagi dilihat bakal membawa satu transisi baru apabila Demokrat yang merupakan parti pembangkang diberi peluang untuk memerintah Thailand semula.

Peluang ini dianggap sebagai masa terbaik bagi Demokrat untuk membuktikan kemampuan parti mereka menyusun strategi pembangunan negara yang lebih berkesan setelah maruah mereka tercalar akibat kegagalan menangani krisis ekonomi pada 1997/98.

Transisi Thailand 2009 kini terletak di tangan Abhisik yang dianggap sebagai salah seorang pemimpin muda ASEAN yang paling cerah masa depannya. Penentu kejayaan beliau sudah pasti bergantung kepada kepimpinan beliau untuk membawa kestabilan di rantau yang paling banyak ragam tatanegaranya.

Dimasa yang sama beliau harus sedar bahawa beliau bukan sahaja mewarisi sebuah negara yang sering bergolak malah tertekan dengan krisis ekonomi yang semakin memburuk.

ahmad zaki uum : mengimbas thailand 2007 (thailand)


Permulaan tahun 2007 bagi negara Gajah Putih, Thailand tidaklah seperti yang dinginkan oleh sebahagian besar warganya. Malam bagi menyambut tahun baru 2007 yang sepatutnya disambut meriah dengan percikan bunga api digantikan dengan beberapa siri letupan bom yang mengegarkan sekitar ibu kota Bangkok. Letupan bom itu menyebabkan tiga orang awam terbunuh serta hampir 40 orang yang lain termasuk beberapa peloncong asing mengalami kecederaan. Kejadian ini ibarat petanda awal bahawa 2007 tidak akan menjadi tahun yang tenang bagi Thailand.

Reaksi awal junta tentera, Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang menggulingkan kerajaan Thaksin Shinawatra pada September 2006 mendakwa kejadian tersebut didalangi oleh ahli politik daripada kerajaan bekas Perdana Menteri. Sonthi juga menganggap ia angkara mereka yang kehilangan kuasa politik dan berniat mahu menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. Walau bagaimanapun tiada bukti kukuh dapat mengesahkan perbuatan tersebut adalah angkara sekutu Thaksin.

Imej junta tentera makin tercalar apabila Majlis Keselamatan Kebangsaan (CNS) masih gagal mendakwa Thaksin atas tuduhan rasuah yang merupakan punca utama rampasan kuasa dilancarkan. Walaupun mahkamah telah mengeluarkan dua waran tangkap namun sehingga kini Thaksin masih bebas menjalani kehidupan di luar negara sebagai orang buangan.

Dalam pada itu, Surayud Chulanont selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara memberi tumpuan ke arah mengembalikan keamanan dan keharmonian di wilayah selatan Thai. Beliau memilih untuk mengambil pendekatan secara berlembut dalam usaha menyelesaikan konflik ini. Permohonan maaf turut dibuat bagi menyatakan kekesalan beliau akibat gagal menentang dasar kekerasan semasa pemerintahan Thaksin Shinawatra walaupun ketika itu beliau merupakan Ketua Angkatan Tentera.

Bagi menyatakan kekesalan dan keazaman, beliau turut mengarahkan Kementerian Pertahanan Thailand membayar pampasan berjumlah RM4.2 juta kepada ahli keluarga 79 mangsa yang terbunuh semasa peristiwa Tak Bai pada tahun 2004. Insiden Thak Bai merupakan insiden terburuk yang berlaku di wilayah selatan Thai dan mendapat kecaman hebat masyarakat antarabangsa apabila pihak tentera bertindak secara keras terhadap hampir 3000 penunjuk perasaan.

Namun sepanjang 2007, usaha Surayud dalam mengatasi konflik di wilayah selatan Thai tidak membawa perkembangan yang begitu membanggakan. Pembunuhan serta kejadian pengeboman masih berlaku tanpa di duga. Terbaru, kejadian letupan bom disasarkan di dua buah hotel berhampiran Sungai Golok yang mengakibatkan lebih 30 orang tercedera termasuk tiga daripadanya warga Malaysia. Untuk rekod, bagi tahun 2007 Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan sebanyak tiga kali larangan berkunjung ke wilayah selatan Thai atas faktor keselamatan. Larangan pertama dibuat pada pertengahan Mac diikuti pada awal jun dan kemudianya yang terbaru di penghujung tahun. Sekaligus tidak menunjukkan tanda-tanda pertumpahan darah akan kering di wilayah bergolak ini.

Namun demikian dalam beberapa aspek lain, kerjasama antara Malaysia dan Thailand dilihat terjalin dengan baik. Ogos 2007 lalu Malaysia dan Thailand memeterai memerondum persefahaman dalam bidang pendidikan. Antara bidang yang dipertimbangkan ialah rangkaian sekolah dan institusi, sains dan matematik, teknlogi maklumat dan komunikasi, pendidikan agama, pendidikan khas, pembangunan kokurikulum dan pengurusan sekolah.

Selang berikutnya Malaysia turut bersetuju membantu Thailand untuk membangunkan sistem perbankan Islam di negara berkenaan khususnya di wilayah bergolak selatan Thai. Persepekatan ini dicapai dalam Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang merupakan pertemuan susulan selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Thailand ke-10 di Bangkok.

Dalam pada itu, suasana politik Thailand 2007 turut dibelenggu dengan beberapa isu getir. Jaminan kerajaan sementara untuk mengembalikan demokrasi bukanlah sesuatu yang mudah. Ujian demi ujian dilihat terpaksa dihadapi oleh Surayud terutama dari sekutu Thaksin dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional yang mendesak pilihan raya diadakan segera. Kumpulan ini juga turut mengkritik tindakan Surayud membaharui Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) yang didakwa sebagai warisan kepada Akta Antikomunis 1952 yang telah dimansuhkan pada 2001.

Cabaran berat Surayud turut dipikul dalam usaha menyiapkan draf perlembagaan baru bagi menggantikan Perlembagaan 1997 yang dimansuhkan. Sebaik dibentangkan kumpulan sami Buddha bangun mendesak agar Buddha dimasukkan sebagai agama rasmi negara di dalam perlembagaan baru dengan hujah lebih 90 peratus penduduk Thai adalah penganut Buddha. Walau bagaimanapun, draf perlembagaan akhirnya diterima melalui satu pungutan suara pada 19 September 2007. Keputusan rasmi menunjukkan hanya 57.8 peratus rakyat menyokong perlembagaan baru. Pemerhati dalaman mengatakan bahawa pengundi meluluskan perlembagaan baru bukan kerana mahu menyokong junta tentera tetapi sebagai mesej bahawa mereka inginkan demokrasi dipulihkan segera.

Penghujung Mei 2007 turut merakam peristiwa penting dalam lipatan sejarah politik Thai apabila parti kesayangan Thaksin Thai Rak Thai (TRT) dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana didapati bersalah membiayai beberapa parti kecil untuk bertanding dalam pilihan raya April 2006. Kesemua eksekutif kanan TRT termasuk Thaksin diharamkam selama lima tahun daripada menyertai politik. Nasib parti Demokrat lebih baik kerana terlepas dari semua tuduhan yang dikenakan.

Pembubaran TRT meningkatkan lagi ketegangan di Bangkok oleh penyokong Thaksin yang menganjurkan protes di jalanan. Namun, hasil perbincangan kedua belah pihak mahkamah akhirnya menarik balik pengharaman ke atas beberapa eksekutif kanan yang membolehkan mereka menyertai pilihan raya 2007. Kumpulan ini kemudiannya bergabung di bawah parti baru Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Seperti yang dijanjikan Surayud berjaya mengadakan pilihan raya pada 23 Disember 2007. Keputusan pilihan raya dilihat memihak kepada parti sekutu Thaksin apabila berjaya mengatasi Demokrat. PPP memenangi 233 kerusi sementara Demorat hanya memperolehi 165 kerusi daripada 480 kerusi yang dipertandingkan. Perkembangan terkini menyebut PPP sudah berjaya mengumpul jumlah kerusi Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan campuran apabila tiga parti kecil menyatakan persetujuan menyertai kem PPP. Sekiranya pelan ini berjalan lancar maka pemimpin PPP Samak Sundaravej menjadi calon utama untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kemenangan PPP jelas menggambarkan rakyat Thai menolak kerajaan junta. Dari sudut yang lain turut menggambarkan bahawa pengaruh Thaksin masih sukar dipadamkan dalam arena politik Thailand walaupun kerajaan junta telah melakukan pelbagai cara untuk menyisihkan beliau.

Dunia ketika ini sudah menjengah ke tahun 2008. Jika makna angka diambil kira ia membawa maksud ada ‘tuah’. Bagi rakyat Thailand, tuah 2008 amat diharapkan terutama untuk beroleh kehidupan yang lebih tenang, ekonomi yang menggalakkan peluang pekerjaan serta kestabilan politik yang boleh mengelak dari berlakunya kekacauan serius di dalam negara. Mampukah Thailand mengambil kesempatan tuah 2008 ini untuk menghentikan segala pergolakan yang berlaku atau sekurang-kurangnya memastikan tiada lagi nyawa yang tidak bersalah menjadi korban.

ahmad zaki uum : menanti suara istana (thailand)


Seperti yang dijangkakan, situasi politik di Thailand menjadi bertambah meruncing setelah Mahkamah Perlembagaan memutuskan parti terbesar negara tersebut Thai Rak Thai (TRT) bersalah atas tuduhan melakukan penipuan dalam pilihan raya. Keputusan yang dibuat pada hujung Mei lepas menyebabkan berlakunya protes secara berterusan terhadap kepimpinan junta tentera yang dipimpin oleh Jeneral Sondhi Boonyaratglin dan Perdana Menteri Sementara, Surayud Chulanont.

Walaupun kerajaan sementara menjanjkan pilihan raya bagi memilih kerajaan demokrasi bakal diadakan pada penghujung tahun ini, namun janji tersebut masih belum cukup kuat untuk meredakan keadaan.

Protes terhadap junta tentera semakin membesar dengan anggaran hampir 13,000 orang terlibat. Lantas menjadikan demonstrasi ini sebagai perhimpunan pertama terbesar menentang kerajaan sementara selepas rampasan kuasa menjatuhkan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Surayud pada awalnya menganggap situasi ini tidak membimbangkan kerana hanya melibatkan kumpulan kecil pengikut Thaksin dan penyokong TRT. Bagaimanapun sangkaannya meleset apabila perhimpunan tersebut turut disertai oleh orang awam yang terdesak dan mempunyai kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi negara.

Surayud dikritik hebat kerana membiarkan urusan pentadbiran negara dicampuri oleh pihak tentera. Faktor ini menyebabkan orang awam melahirkan rasa tidak puas hati kerana camputangan tentera telah menjejaskan imej negara serta merendahkan keyakinan pelabur asing dan ahli perniagaan untuk terus bertapak di Thailand.

Thitinan Pongsudhirak yang merupakan seorang pensyarah sains politik di Universiti Chulalongkorn berkata “perkara yang telah lama terpendam ini akan mencetus satu keadaan yang huru-hara satu hari nanti”.

Dalam pada itu, Surayud dan Sondhi turut berdepan dengan cabaran pengikut-pengikut Thaksin Shinawatra yang menuntut supaya dibuktikan adakah benar Thaksin terlibat dalam kes rasuah. Namun sehingga kini, bukti tersebut masih gagal dikemukakan secara jelas.

Bagi kumpulan orang awam, mereka tidak menyokong Thaksin Shinawatra dan mereka juga tidak menyukai junta tentera kerana telah merosakkan perkembangan demokrasi di Thailand. Bahkan mereka turut bersetuju bahawa kepimpinan junta tentera lebih teruk dari kepimpinan Thaksin Shinawatra.

Apa yang menarik, perhimpunan kali ini turut disertai oleh golongan sami dan pengikut ajaran agama Buddha. Hampir 5,000 orang dikalangan mereka turut berkumpul di hadapan bangunan Parlimen sambil mengkritik kerajaan Surayud Chulanont kerana gagal meletakkan status agama Buddha dalam Draf Perlembagaan yang dijangka akan melalui proses kelulusan pada September depan.

Perkara ini walaupun telah lama disuarakan tetapi dianggap tidak diendahkan oleh Surayud. Akhirnya pakatan menyertai perhimpunan ini dipersetujui untuk mendesak Surayud agar permohonan mereka tidak dipandang ringan dan perlu dipertimbangkan dengan serius.

Situasi yang berlaku di Bangkok kini nampaknya memberi tekanan yang hebat kepada kerajaan sementara. Asakan dari pelbagai pihak tidak memungkinkan Surayud atau Sondhi untuk membuat keputusan yang boleh memuaskan hati kesemua pihak. Ditambah lagi dengan siri keganasan di wilayah selatan thai yang semakin meningkat dan jumlah kematian yang bertambah.

Petunjuk masa depan kepada apa yang berlaku sekarang ini mungkin sudah boleh dijangka. Pilihan raya memilih kerajaan demokrasi Disember depan pasti akan melalui proses yang mencabar. Tekanan kepada kepimpinan kerajaan sementara pula pasti akan menjemput campur tangan pihak istana bagi memulihkan keadaan. Namun, adakah suara istana kali ini akan didengar dan berupaya memuaskan hati segenap pihak ?

ahmad zaki uum : mampukah thaksin kembali (thailand)


Semenjak dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2001 nama Thaksin Shinawatra dalam dunia politik Thailand tidak pernah padam. Biarpun pada September 2006 beliau digulingkan melalui satu rampasan kuasa terancang dan terpaksa menjalani kehidupan dalam buangan namun popularitinya sebagai seorang ahli politik masih segar dan merisaukan pencabarnya. Usaha kerajaan junta melakukan pelbagai tindakan untuk menyisihkan Thaksin ternyata tidak mendatangkan hasil.

Sebaliknya, Thaksin kini boleh menarik nafas panjang kerana parti sekutunya PPP berjaya mengatasi parti Demokrat dalam pilihan raya 23 Disember lalu. Walaupun PPP kekurangan 10 kerusi untuk memperolehi majoriti mudah namun kejayaan tersebut sudah memadai bagi Thaksin untuk kembali mendabik dada.

Setelah digulingkan melalui rampasan kuasa, masa depan Thaksin dalam politik dilihat sudah sampai ke garisan penamat. Tambahan pula, lapan bulan selepas itu Tribunal Perlembagaan Thailand membubarkan partinya Thai Rak Thai (TRT) selepas didapati bersalah kerana melanggar undang-undang pilihan raya. Bahkan TRT juga dianggap tidak matang walaupun hakikatnya sudah memenangi dua pilihan raya sebelum ini. TRT pasti meninggalkan banyak kenangan kepada Thaksin berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam pilihan raya tahun 2001 dan 2004.

Selain itu , Thaksin dan isterinya turut berdepan dengan beberapa tuduhan rasuah yang bakal mengheret mereka ke dalam penjara untuk tempoh tidak kurang dari 10 tahun. Buat waktu ini, nasib masih menyebelahi Thaksin kerana mahkamah Thailand menangguhkan perbicaraan rasuah sehingga pihak pendakwa raya berjaya membawa mereka untuk dibicarakan. Bagaimanapun beliau tetap sedar bahawa mahkamah juga telah dua kali meluluskan waran tangkap untuknya.

Oleh yang demikian, beberapa kenyataan Thaksin mengenai hasrat beliau untuk pulang ke tanah air boleh dianggap ‘cakap kosong’ kerana sebenarnya beliau lebih arif tentang apa yang bakal berlaku sekiranya beliau menjejakkan kaki di mana-mana pintu masuk Thailand tanpa jaminan bahawa beliau tidak akan ditangkap.

Adalah mustahil bagi lulusan Doktor Falsafah dalam bidang ‘criminal justice’ ini untuk melakukan tindakan yang tidak bijak yang boleh memerangkap diri. Bagi sebahagian pemerhati kenyataan tersebut hanyalah sebagai strategi Thaksin untuk meraih populariti serta bagi menimbulkan keresahan kepada junta tentera.

Untuk meningkatkan tekanan ke atas Thaksin, kerajaan junta melalui Jawatankuasa Penilaian Aset (AEC) dilaporkan telah merampas 21 akaun miliknya. Tindakan ini memberi tamparan hebat kepada Thaksin dan menyebabkan hampir RM6 billion asetnya dibekukan. Aset ini merupakan keuntungan yang diperolehi apabila beliau menjual syarikat keluarganya Shin Corp kepada Temasek.

Jika dahulu beliau tersenarai sebagai tokoh perniagaan keempat terkaya di Thailand namun kini kedudukannya terkeluar sebagai bilionair dan hanya menduduki senarai ke-14 paling kaya di Thailand.

Ironinya, walaupun pelbagai cara telah dilakukan oleh pemerintah junta untuk menghakis pengaruh Thaksin namun segalanya tampak tidak berkesan. Sebaliknya pihak junta tentera pula dilanda kejutan terutama apabila Thaksin berjaya dalam bidaan untuk memiliki kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester City dengan bayaran sebanyak RM554 juta.

Kejayaan Thaksin ini ternyata memalukan pihak junta kerana dibayangi kegagalan mengesan serta menyekat keseluruhan akaun milik Thaksin. Bagaimanapun, pihak junta menafikan kegagalan tersebut dengan mendakwa Thaksin sebenarnya dibantu oleh rakan perniagaan. Sememangnya diketahui bahawa Thaksin memiliki jaringan rakan niaga yang luas terutama dari China, Hong Kong bahkan juga di London. Atas dasar ini maka tidak hairan jika Thaksin berjaya dalam bidaan tersebut.

Timbul pula persoalan lain, kenapa Thaksin sanggup berhabis untuk memiliki kelab Manchester City (bahkan niat awal untuk memiliki kelab ternama Liverpool). Ternyata tindakan membeli kelab tersebut mempunyai agenda yang tersirat. Apa yang jelas Thaksin bijak menggunakan saluran sukan sebagai medium untuk beliau melancarkan propaganda selain untuk terus berhubung dengan rakyat Thai yang sebahagian besarnya amat meminati sukan tersebut.

Buktinya dapat dilihat dalam satu wawancara Thaksin di dalam ESPN pada November lepas. Setiap soalan yang diajukan pasti disertai dengan jawapan tersirat dan sekali sekala jelas mengutuk pemerintahan junta.

Satu ketika beliau diajukan satu soalan, manakah lebih mudah antara mengurus sebuah pasukan bola sepak dengan mengurus sebuah negara? Secara spontan beliau menjawab mengurus sebuah negara lebih mudah kerana kumpulan yang berkuasa mampu menentukan dengan hampir tepat siapa yang akan menang di dalam pilihan raya. Sebaliknya adalah begitu sukar untuk membuat ramalan kemenangan dalam sesebuah perlawanan bola sepak.

Keupayaan Thaksin memanipulasi medium ini secara licik menjadikan nama dan pengaruh beliau terus berlegar di dalam arena politik Thai walaupun kerajaan Thailand telah menyekat akses ke beberapa laman webnya.

Bagaimanapun kekuatan pengaruh Thaksin sebenarnya bukan secara mutlak terletak kepada kebijakan Thaksin menggunakan peluang yang wujud sebaliknya turut dibantu oleh beberapa faktor lain. Antara lain disebabkan sebahagian besar rakyat Thai hampir sebulat suara menolak pemerintahan tentera.

Pemerintahan tentera akan merumitkan lagi proses pendemokrasian. Rakyat Thai telah lama mengambil iktibar dari sejarah lalu serta menjadikan apa yang berlaku di Myammar dan mungkin juga Pakistan sebagai contoh untuk tidak membiarkan tentera menguasai negara. Penguasaan tentera dilihat akan lebih banyak menimbulkan kekacauan dari apa yang sepatutnya berlaku.

Walaupun pemerintahan junta ketika ini mendapat sedikit pujian atas dasar tidak mengamalkan pentadbiran kuku besi namun rakyat Thai lebih sedar bahawa pemerintahan tentera tidak melambangkan tunjang demokrasi.

Keputusan Tribunal Perlembagaan Thailand membubarkan TRT dan mengharamkan Thaksin serta eksekutifnya bergiat dalam politik pada Mei lalu secara tidak langsung banyak memberi kelebihan kepada PPP. Pemerhati politik ketika itu mengandaikan tanpa mereka ini Thailand akan dipimpin oleh kepimpinan yang tidak berwibawa memandangkan tidak ramai tokoh politik hebat berada di dalam Demokrat.

Namun, setelah beberapa pengharaman di tarik balik, jelas PPP mendapat sokongan ramai kerana disertai oleh individu yang berkebolehan serta telah lama berkecimpung dalam dunia politik. Faktor ini turut memberi gambaran bahawa rakyat Thailand ketika ini cukup berwaspada dalam memberi undi.

Keputusan tidak rasmi pilihan raya 23 Disember lalu sedikit sebanyak melegakan Thaksin. Tambahan pula ketua PPP Samak Sundaravej yang secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri baru sentiasa menyatakan hasrat untuk berusaha membawa beliau pulang. Apakah pengaruh yang belum pudar ini boleh dijadikan petanda bintang Thaksin akan kembali di tahun 2008?

ahmad zaki uum : apabila demokrasi jadi mainan (thailand)


“Anda memilih untuk memakai warna baju yang tepat. Jangan pakai baju berwarna merah”. Itu sapaan yang diterima dari seorang pekedai ketika penulis sedang berlegar di sekitar Bangkok awal minggu ini.

Oleh kerana tahu sedikit situasi yang berlaku, penulis dapat memahami dengan jelas maksud sapaan pekedai tadi. Sebenarnya, secara kebetulan pagi tersebut penulis memakai baju berwarna kuning.

Pekedai itu kemudian merungut “orang merah adalah kumpulan jahat dan suka menyusahkan orang ramai”. ‘Orang merah’ adalah merujuk kepada penyokong Thaksin yang menamakan kumpulan mereka Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD).

Laporan akhbar di Malaysia dan Thailand banyak menggunakan istilah ‘Baju Merah’ atau ‘Baju Kuning’ tetapi penulis menggunakan istilah ‘Orang Merah’ berdasarkan terjemahan langsung ungkapan penduduk tempatan di sini yang menyebut ‘red people’ atau ‘yellow people’ ketika berinteraksi dengan mereka.

Sehari selepas itu, ketika meraikan Pesta Songkran penulis menceritakan perkara ini kepada pengusaha hotel tempat penulis menginap. Beliau membalas “orang merah memang tidak bagus, sama juga seperti orang kuning” yang merujuk kepada kumpulan Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) yang berjaya menggulingkan Thaksin pada September 2006.

Akhirnya penulis faham bahawa beliau menolak kedua-dua kumpulan kerana perbuatan mereka memberi implikasi yang sama iaitu mewujudkan suasana tegang dan huru hara di dalam negara.

Pada beliau siapa yang layak menjadi Perdana Menteri bukanlah keutamaan. Paling penting adalah untuk menjaga kestabilan dan mengekalkan keamanan.

Namun secara peribadi beliau mengakui bahawa Thaksin dilihat lebih berkesan sebagai Perdana Menteri berbanding Abhisit. Tambah beliau “kelemahan Thaksin hanya tidak mempunyai persefahaman dengan pihak istana dan tentera tetapi Abhisit lemah di dalam banyak perkara serta tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk dilantik sebagai Ketua Negara.

Barangkali apa yang telah berlaku membuktikan bahawa kata-kata mereka ini ada kebenarannya. Demonstrasi secara aman akhirnya bertukar menjadi tidak terkawal sehingga menyebabkan pelbagai kerosakan dan kecederaan.

Malah paling membimbangkan apabila senjata api dan bom buatan sendiri turut mula digunakan setelah perintah darurat yang diisytiharkan tidak diendahkan.

Ternyata tindakan penyokong Thaksin telah menyusahkan banyak pihak apabila lalu lintas terpaksa ditutup, perkhidmatan awam tergendala, permis perniagaan tidak dapat beroperasi serta jaminan keselamatan menjadi tidak menentu.

Pengalaman penulis terperangkap selama hampir empat jam sewaktu rusuhan berlaku amat mendebarkan. Walaupun kumpulan perusuh mendakwa tidak akan mengapakan-apakan orang ramai dan pelancong tetapi situasi tidak terkawal sukar diramal.

Pertempuran antara kedua pihak memungkinkan apa sahaja berlaku. Apatah lagi bila menyedari bahawa terdapat perusuh yang berada di dalam keadaan mabuk serta khayal. Kebetulan arak ketika dijual dengan harga yang cukup murah sempena sambutan Pesta Songkran di Thailand.

Akhirnya penulis tekad mengambil keputusan untuk menyelit keluar bersama seorang pelancong dari Korea yang turut sama terperangkap. Untuk memudahkan pengecaman kami berlari sambil menjulang pasport di atas kepala. Melucukan, memeritkan dan pastinya menggerunkan kerana berhadapan dengan rusuhan di negara orang.

Sesuatu yang amat memalukan apabila tindakan ‘orang merah’ ini juga telah memaksa kerajaan Abhisit membatalkan Sidang Kemuncak Asia Timur di Pattaya sekaligus mencabar kewibawaan beliau sebagai pemimpin negara.

Dalam usaha memulihkan imej kerajaan yang teruk dikritik, Abhisit dalam satu sidang akhbar yang disiarkan melalui media TV tempatan berjanji untuk segera menyelesaikan kemelut yang melanda.

Namun, cabaran kepada Abhisit semakin meningkat apabila muncul pula pertempuran tidak diduga antara kumpulan perusuh dengan orang awam yang terdesak mempertahankan kawasan kejiranan mereka daripada diceroboh.

Kejadian berlaku di kawasan Din Daeng apabila orang awam bertindak sendiri bagi menggagalkan cubaan kumpulan perusuh yang cuba meletupkan treler berisi gas berhampiran kawasan mereka.

Kumpulan orang awam dari kalangan orang Islam juga turut berkumpul berhampiran jalan Phetchaburi bagi mempertahankan premis perniagaan dan kenderaan mereka daripada dirosakkan.

Perkembangan terkini menyaksikan petanda positif setelah pihak tentera berjaya menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan. Bagaimanapun keadaan diramal hanya akan reda seketika dan penyokong Thaksin akan kembali semula melancarkan protes.

Meneliti apa yang sedang berlaku di Bangkok, inilah bahayanya apabila demokrasi dijadikan taruhan oleh setiap pihak yang terlibat. Tambah sukar apabila masing-masing menafsir kehendak demokrasi mengikut cara sendiri. Matlamat serta objektif yang ingin dicapai begitu murni tetapi kaedah yang digunakan tidak menepati prinsip yang betul.

Setiap pihak dilihat ingin menjadi juara dalam memperjuangkan demokrasi tetapi tidak ada satu pun yang berjaya membuktikan bahawa prinsip demokrasi harus dihormati dan dipatuhi.

Apa yang berjaya dipaparkan setakat ini sama ada oleh UDD atau PAD ialah impian demokrasi mereka sebenarnya telah bertukar menjadi anarki apabila undang-undang lebih berjaya diletakkan di tangan sendiri.

Kerajaan melalui peruntukan perundangan sudah tidak mampu berbuat apa-apa sehingga menyaksikan beberapa kerajaan yang dilantik sebelum ini gagal berfungsi dengan sebaiknya. Kuasa penentuan sesebuah kerajaan juga dilihat lebih memihak kepada kumpulan penunjuk perasaan.

Sebenarnya, tidak ada kaedah lain yang lebih baik bagi menyelesaikan kemelut ini melainkan semua pihak perlu bersepakat menamatkan kebuntuan melalui kaedah paling demokrasi secara perundangan.

Thaksin perlu balik ke Thailand dan bersedia membuktikan di mahkamah sekiranya beliau tidak bersalah atas tuduhan yang dihadapinya.

Pemimpin PAD yang melanggar undang-undang dengan merampas Rumah Kerajaan, menawan lapangan terbang serta menghasut sikap anti-kerajaan perlu dibawa ke mahkamah atas dakwaan melakukan pemberontakan.

Pemimpin UDD yang juga turut melanggar undang-undang melancarkan pemberontakan perlu berhadapan dengan dakwaan yang sama.

Apa sahaja dakwaan atau bantahan daripada pihak terlibat wajar dilaksanakan di mahkamah bukannya melalui protes di jalan raya yang tidak berhakim.

Jika perkara ini gagal diwujudkan maka Thailand akan terus berhadapan dengan situasi yang berulang. Tidak mustahil juga, Thailand selepas ini akan lebih dikenali sebagai sebuah negara yang tidak berkerajaan sebaliknya dimiliki oleh sama ada ‘orang merah’ atau ‘orang kuning’. Bahkan akan bertambah menjadi milik ‘orang biru’, ‘orang hijau’ dan sebagainya.

ahmad zaki uum : apabila melayu dibonekakan (malaysia)

Sambil bertepuk tangan mereka ketawa berdekah-dekah. Agaknya inilah yang diraikan oleh sebahagian besar pemimpin DAP sekarang apabila tanpa susah payah mereka berjaya memporak-perandakan hubungan sesama Melayu di Perak. Tidak cukup dengan itu, mereka juga sudah mula berjaya menjadikan segelintir orang Melayu untuk menunjukkan penderhakaan kepada Raja sendiri.

Mereka tidak perlu menggunakan orang lain kerana mereka tahu ada Melayu yang boleh dipertaruhkan untuk tujuan dan kepentingan mereka. Mereka juga tidak perlu untuk turun padang kerana mereka pasti akan ada Melayu yang akan mengikut telunjuk mereka.

Inilah padahnya apabila ada Melayu yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya bukan sahaja ‘diperkudakan’ malah ‘dibalacikan’ oleh orang lain. Siapa bekas Menteri Besar Perak yang diperkudakan DAP? Melayu. Siapa pula kumpulan perusuh jalanan yang berjubah, berserban, bertudung yang ‘dibalacikan’? juga Melayu.

Ada orang lain turut serta? Tidak ada, kerana orang lain memikirkan diwaktu itu masa mereka lebih penting untuk bekerja mencari rezeki menyara keluarga dan anak-anak.

Sebenarnya, terlalu kecewa untuk terus melihat Melayu diperlakukan sedemikian rupa. Lebih mengecewakan apabila Datuk Seri Mohammad Nizar bukan sahaja dipergunakan sewaktu beliau memegang jawatan bahkan sehingga ke hari ini pun masih membiarkan ‘tali boneka’ mengikat kepala, kaki dan tangannya.

Sedangkan beliau bukan sahaja berupaya untuk membebaskan diri dari terus terikat bahkan lebih penting mengembalikan semula maruah dirinya sebagai Melayu. Cukuplah sekali pemimpin Melayu Perak dibonekakan.

Inilah juga akibatnya jika kita tidak dapat menerima hakikat di dalam kehidupan. Bagi mereka yang memahami hukum alam pasti sedar bahawa ada masanya kita merasa senang dan ada masanya kita merasa susah, ada masanya kita di atas dan ada masanya pula kita akan berada di bawah.

Tetapi sejauh mana kita mampu mengawal diri untuk menerima atau berhadapan dengan proses ini?

Apa yang berlaku kepada Datuk Seri Mohammad Nizar kemungkinan menjadi contoh terbaik untuk direnungkan. Setelah Raja Perak perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar tahun lalu, umum mengetahui beliau dan pemimpin pembangkang menggambarkan keputusan Raja sebagai satu keputusan yang penuh dengan kebijaksanaan dan adil. Ini berikutan keputusan tersebut dilihat memihak kepada mereka.

Bagaimanapun, baru-baru ini apabila keputusan Raja dilihat tidak menyebelahi mereka maka pelbagai tuduhan dilemparkan. Raja yang sebelum ini dianggap bijaksana dan adil tiba-tiba dituduh membuat keputusan yang tidak adil, berat sebelah serta bertindak melampaui kuasa.

Apabila Melayu sudah dilihat mula berani mempertikaikan Raja maka peluang ini digunakan sepenuhnya oleh orang lain untuk terus memperkecilkan Raja Melayu melalui tindakan saman.

Namun, kita patut bersyukur kerana masih ada kumpulam NGO Melayu yang tidak sanggup membiarkan Raja mereka dicabar sedemikian rupa. Kini, laungan Daulat Tuanku bergema di seluruh pelusuk daerah bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Raja.

Dimanakah letaknya nilai kesanggupan Datuk Seri Mohammad Nizar menerima realiti yang berlaku. Adakah hanya kerana keputusan Raja tidak menyebelahinya maka Raja harus disanggah. Berbeza dengan pendirian pemimpin Barisan Nasional yang bersifat terbuka menerima dengan redha apa sahaja keputusan yang diperolehi sama ada ketika menang mahupun kalah.

Sikap tidak dapat menerima kenyataan seperti yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar juga mampu menimbulkan satu persoalan yang lebih besar iaitu apakah beliau menerima qada dan qadar daripada Allah.

Sama sewaktu ketika beliau dipilih sebagai Menteri Besar, mulutnya sentiasa terucap bahawa perlantikannya adalah ketentuan dan keizinan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Perlantikan beliau ini kemudiannya dijadikan modal oleh pemimpin PAS bahawa perjuangan mereka untuk memerintah Perak mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T

Namun apabila keredhaan itu ditarik semula, Datuk Seri Mohammad Nizar tidak dapat menerima kenyataan tersebut serta enggan melepaskan jawatan. Tindakan ini mengambarkan bahawa beliau bukan sahaja tidak dapat menerima kenyataan bahkan tidak redha dengan ujian Allah terhadapnya.

Sekaligus tindakan tersebut menyaksikan ketidakpekaan Mohammad Nizar terhadap dua prinsip Rukun Negara yang utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Paling memalukan apabila sebagai pemimpin yang berjuang atas nama kalimah Islam, beliau turut mengenepikan salah satu prinsip Rukun Iman iaitu percaya kepada qada dan qadar daripada Allah S.W.T

Nampaknya, walaupun BN tidak menamakan partinya secara khusus dengan kalimah Islam tetapi secara jelas dapat dilihat bahawa tindakan pemimpin BN di dalam perkara seperti ini lebih Islam daripada pemimpin PAS yang tidak sanggup menerima ketentuan dan cabaran daripada Allah S.W.T.

Perkembangan terkini turut menyaksikan gabungan Pakatan Rakyat semakin rapuh apabila Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim ditempelak hebat oleh Karpal Singh sebagai punca Perak berjaya ditawan semula oleh BN.

Karpal Singh menyalahkan Anwar Ibrahim kerana menyuntik momentum lompat parti yang akhirnya memakan diri sendiri. Secara sinis, Karpal Singh turut menganggap perbuatan Anwar Ibrahim yang ingin menubuhkan kerajaan mengikut ‘jalan belakang’ adalah satu tindakan yang ‘berdosa’.

Amat malang sekali apabila pemimpin PAS berbuat tidak menyedari bahawa tindakan tersebut adalah satu dosa. Kenyataan Karpal memperlihatkan dirinya lebih memahami prinsip Islam berbanding pemimpin PAS walaupun rata-ratanya mempunyai pengetahuan Islam yang meluas.

Prinsip Islam bagi PAS sudah diubah begitu jauh sehingga menjadikan mereka begitu taksub. Apa yang mereka lakukan semuanya dianggap betul dan baik biarpun terpaksa menjadi barang mainan sekalipun menjadi patung boneka.

ahmad zaki uum : pentingnya hargai keamanan (malaysia)

Sekali lagi kita wajar melahirkan rasa syukur kerana di tahun ini kita masih mampu untuk meraikan kemeriahan Aidilfiti dengan aman, tenang dan tenteram. Situasi ini tidaklah hanya memberi keuntungan kepada umat Islam yang menyambut 1 Syawal sahaja bahkan kepada seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Dengan harapan nikmat keamanan ini akan terus dikecapi bagi perayaan-perayaan lain yang akan datang.

Tidak ada mana-mana kaum di dalam negara ini yang suka atau inginkan perayaan mereka disambut dalam situasi kacau bilau, tidak tenteram dan penuh kekacauan. Semuanya berkehendakkan keharmonian bagi membolehkan setiap perayaan disambut dengan gembira bersama sanak saudara dan rakan taulan.

Namun, adakah semuanya sedar bahawa untuk mengekalkan kesejahteraan seperti ini menuntut pengorbanan yang menyeluruh dari setiap kita yang ada. Mahukah kita semua bertekad untuk bersama memelihara keamanan hari ini agar dapat juga dinikmati oleh generasi akan datang?

Berapa ramai pula yang memiliki penuh kesedaran bahawa keamanan negara pada hari ini bukannya sesuatu yang boleh dijual beli? Apatah lagi untuk dipertaruhkan sebagai percubaan kepada sesuatu yang belum pasti natijahnya.

Jika percubaan itu membawa hasil yang baik maka wajar kita menarik nafas lega. Namun jika sebaliknya yang berlaku, adakah kita yakin dan mampu untuk mengembalikan semula dalam keadaan sedia kala? Persoalan inilah yang menuntut kepada kita semua agar memberi pertimbangan yang secukupnya apabila keamanan negara cuba dipertaruhkan sebagai barang gadaian.

Paling penting kita seharusnya sedar bahawa keamanan hari ini bukannya boleh dijelmakan dengan sekelip mata. Bukan juga bertahun apatah lagi berbulan. Sebaliknya melalui satu proses yang panjang dan berterusan serta menuntut persefahaman yang jitu dikalangan pelbagai kaum.

Bagi rakyat Malaysia, pastinya nilai keamanan begitu tinggi. Apa yang kita perolehi hari ini sama ada harta biarpun tidak seberapa, pendidikan, kecemerlangan diri, pekerjaan, memenuhi tanggungjawab terhadap agama, kebahagiaan keluarga, pangkat, darjat dan segalanya adalah berteraskan keamanan yang sedang kita kecapi.

Tanpa keamanan ini hasrat setiap individu dalam menjalani kehidupan yang sempurna belum pasti dapat direalisasikan. Terlalu banyak contoh serta iktibar dari negara lain yang patut kita ambil pengajaran supaya tidak berlaku di Malaysia.

Malangnya, selagi belum merasai bagaimana hilangnya nikmat keamanan selagi itulah tetap ada golongan yang mahu cuba menjadikannya sebagai satu eksperimen yang bukan kecil nilai kerosakannya jika menghadapi kegagalan.

Sekadar renungan, perhatikan sahaja bagaimana sambutan Aidilfitri disambut di Palestin, Pakistan dan juga Iraq. Adakah mereka benar-benar merasai kegembiraan dan ketenangan seperti yang kita rasa?

Atas dasar ini maka tidak hairanlah kenapa golongan mereka yang terdahulu dilihat lebih menghargai nikmat sebuah keamanan kerana mereka telah melalui zaman keperitan.

Namun, bukanlah satu alasan yang munasabah kepada generasi selepas merdeka serta mempunyai latar belakang pendidikan yang jauh lebih baik untuk tidak memahami peri pentingnya keamanan di dalam sesebuah negara.

Justeru, rasa selamat dan terlepas dari kebimbangan besar semasa meraikan aidilfitri tahun ini wajar diinsafi oleh segenap generasi masa kini untuk terus memelihara kemakmuran negara.

Kemampuan Malaysia mengekalkan kesejahteraan seperti inilah yang sepatutnya kita biar menjadi sebutan di segenap pelusuk tempat. Kebanggaan Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum serta hidup harmoni di bawah kepimpinan Melayu juga semestinya dipertahankan.

Walaupun akhir-akhir ini kita berhadapan dengan beberapa isu yang berupaya mencalarkan keharmonian yang telah lama terbina, namun kehadiran Aidilfitri tahun ini diharap dapat digunakan sebaiknya oleh semua kaum untuk kembali mengeratkan ikatan perpaduan.

Tidak ada ruginya walaupun secebis jika perpaduan menjadi matlamat utama yang ingin dicapai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Barangkali sebaris pesanan ringkas dari seorang teman yang turut sama berkongsi pendapat tentang keamanan perlu dihayati.

Katanya “Keamanan bukan untuk diguna tapi untuk dijaga, bukan untuk dikasari tapi untuk disayangi, bukan untuk dilupa tapi diingati, bukan hanya di sini tapi dimana-mana, bukan untuk sementara tapi untuk selamanya, bukan setakat ini tapi hingga hujung nyawa”.

Alangkah indahnya jika seluruh warga Malaysia ingin sepakat dalam perkara ini.

ahmad zaki uum : belajar dari krisis Thai (thailand)

Sengaja mengundang keganasan. Barangkali kata-kata ini dapat memberi gambaran yang tepat berhubung apa yang telah berlaku di Thailand. Kekacauan yang meletus bukanlah satu kejutan malah sudah dijangka akan tercetus dengan hanya sedikit kesilapan dan provokasi.

Sepanjang tahun ini, situasi tegang di ibu Bangkok tidak pernah surut biarpun jawatan Perdana Menteri sudah bertukar daripada Samak Sundaravej kepada Somchai Wongsawat.

Ketika pemerintahan Samak beliau dikecam kerana dianggap menjalankan dasar bagi menjaga kepentingan Thaksin Shinawatra. Namun perlantikan Somchai pada 18 September lalu juga masih tidak berupaya memisahkan dunia politik Thai daripada terkena ‘sentuhan’ Thaksin.

Badi bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra inilah yang ingin dilenyapkan oleh sebuah pertubuhan Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) dari terus mewarnai kancah politik Thai. Bagi PAD, biar apa pun yang bakal berlaku status ‘Thailand itu Thaksin’ atau ‘Thaksin itu Thailand’ tidak seharusnya dibiarkan berterusan.

Biarpun PAD menjangkakan akan memperolehi kejayaan dengan pengunduran Samak pada bulan lepas namun perlantikan Somchai mematikan seketika kegembiraan mereka.

Perlantikan Somchai tidak membawa apa-apa erti kepada PAD kerana Somchai bukan sahaja masih boleh dikaitkan dengan Thaksin bahkan antara kedua-duanya mempunyai ikatan persaudaraan yang begitu rapat. Ini bermakna perjuangan sebenar PAD masih belum berakhir.

Kemarahan puak anti kerajaan terhadap Somchai mula tercetus setelah mereka tidak berpuas hati dengan senarai anggota kabinet baru yang diumumkan seminggu selepas Somchai dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pemimpin PAD menolak kabinet baru tersebut kerana dipenuhi anggota keluarga dan proksi Thaksin. Mereka juga menggambarkan kabinet tersebut terdiri daripada orang yang tidak berkebolehan.

Sasaran utama kritikan ialah Menteri Kesihatan baru, Charlerm Yoobumrung yang dianggap tidak memiliki pengalaman yang sesuai dan Menteri Luar baru, Sompong Amornviwat. Untuk rekod Sompong merupakan penasihat kepada Thaksin sebelum digulingkan pada September 2006.

Lantaran itu, PAD kembali meneruskan protes dengan sebahagian besar penyokong mereka masih menguasai Rumah Kerajaan. Sebuah badan penyelidik Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) menganggap protes anti kerajaan yang berterusan dan ketidakstabilan politik seperti ini merupakan satu ancaman kepada keamanan dan demokrasi di Thailand.
Menurut ICG, krisis tersebut turut memberi kesan buruk terhadap pelancongan dan ekonomi Thailand yang menyaksikan kejatuhan 25 peratus pasaran saham sejak PAD meningkatkan bantahan terhadap kerajaan yang memerintah.
Kumpulan pemikir ini juga tidak menolak untuk berlakunya satu lagi siri rampasan kuasa tentera. Satu tamparan hebat buat demokrasi di Thailand sekiranya sekali lagi kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya berjaya digulingkan sama ada melalui rampasan kuasa tentera atau demonstrasi jalan raya.

Tindakan polis Thailand menahan salah seorang pemimpin PAD, Chaiwat Sinsuwongse awal Oktober lalu turut menyumbang kepada faktor puak anti kerajaan untuk bertindak lebih agresif.

Kemuncak kekacauan meletus setelah pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang mengepung bangunan Parlimen bagi menghalang ucapan sulung Perdana Menteri. Berdasarkan Perlembagaan, Somchai perlu menyampaikan ucapan di Parlimen sebelum kerajaan barunya boleh memulakan dasar pentadbiran negara.

Keadaan menjadi semakin getir apabila penunjuk perasaan tidak mempedulikan arahan polis dan mula bertindak ganas sehingga menyebabkan berlaku pertempuran yang tidak terkawal.

Akibatnya, kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus kepada punca kekasaran. Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri Thailand, Chavalit Yongchaiyudh dilihat menyebelahi kumpulan penunjuk perasaan dan menyalahkan pihak polis kerana membelakangi saranan beliau untuk tidak menggunakan kekerasan.

Sebagai protes terhadap tindakan polis, Chavalit kemudiannya mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri atas dasar memikul tanggung jawab terhadap kecederaan yang dialami oleh penunjuk perasaan.

Apa yang berlaku di Thailand kini mempunyai banyak pengajaran untuk difikirkan. Antaranya, sudah menjadi kebiasaan pihak polis dipersalahkan apabila berlaku kekacauan di dalam sesebuah negara yang melibatkan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan.

Asalkan penunjuk perasaan berjuang atas nama demokrasi maka simpati mudah diraih oleh mereka. Dalam kes Thailand, tindakan kumpulan penunjuk perasaan sendiri sudah terlalu jauh menyimpang dari kehendak demokrasi.

Protes mereka melalui demonstrasi jalanan secara berterusan terhadap kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya umum sudah cukup untuk membuktikan bahawa tindakan mereka tidak berlandaskan konsep demokrasi. Sepatutnya mereka perlu memberi ruang dan masa kepada kerajaan yang telah dipilih untuk memperbaiki kesilapan.

Jika kerajaan itu masih gagal untuk memperbetulkannya maka pilihan raya selanjutnya wajar dijadikan medan untuk beralih kepada sebuah kerajaan baru yang lebih dipercayai.

Namun, seringkali jalan singkat melalui demonstrasi jalanan menjadi pilihan. Malangnya, jalan yang hampir serupa turut menjadi pilihan Ketua Pembangkang di Malaysia bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Situasi menjadi bertambah rumit apabila penunjuk perasaan bertindak melampau dengan menawan Pusat Pentadbiran Kerajaan. Dalam hal ini, dimana pula letaknya simpati kepada kerajaan yang memerintah apabila hak mereka untuk memasuki bangunan bagi menjalankan tugas dinafikan. Jadi, siapa sebenarnya yang mula mencetuskan kekacauan?

Tidak dinafikan terdapat juga perjuangan melalui demonstrasi jalanan yang berjaya mencapai kejayaan. Tetapi jumlahnya terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan jumlah kekacauan dan pertempuran berdarah yang bakal berlaku. Apakah nilai satu nyawa yang menjadi mangsa wajar disamakan dengan satu kejayaan yang tidak seberapa?
Peristiwa di Thailand juga mengingatkan kita tentang betapa mudahnya demonstrasi yang sering dilaungkan berjalan secara aman tiba-tiba dengan sekelip mata boleh berubah menjadi medan pertempuran.
Lebih menakutkan dengan sekelip mata juga kumpulan penunjuk perasaan ini mampu menggenggam senjata ditangan. Dari mana datangnya senjata ini jika bukan disediakan sejak dari awal. Jika begitu apakah motif sebenar penunjuk perasaan? Atas dasar untuk menegakkan demokrasi atau sengaja untuk menimbulkan kekacauan?
Peristiwa seperti ini wajar dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia untuk sebulat suara menolak sebarang punca yang boleh mencetuskan rasa tidak tenteram di dalam negara. Hindraf merupakan contoh terbaik untuk diperhatikan.
Umum mengetahui tindakan Hindraf merupakan satu tindakan yang melampau sewaktu menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet minggu lepas.
Tindakan mereka bukan sahaja sewajarnya dikenakan tindakan tegas malah mempamerkan kejahilan mereka dalam menjalani kehidupan bermasyarakat pelbagai kaum dan agama. Barangkali mereka tidak sedar diwaktu itu dengan sedikit provokasi mampu mencetuskan pergaduhan kaum yang besar.
Atas dasar ini maka seharusnya kita mengambil ikhtibar daripada peristiwa yang berlaku di Thailand dan dijadikan pengajaran untuk mengekalkan kesejahteraan negara.