Tuesday, August 4, 2009

melayu dihina secara halus

Zaman sudah berubah. Masa bergerak begitu pantas. Pemikiran manusia juga sentiasa berkembang termasuklah pemikiran dan cara berfikir orang Melayu zaman ini. Namun, sesuatu yang mengecewakan apabila masih ada sebahagian orang Melayu yang tidak sedar mereka sebenarnya diperguna dan diperalatkan dengan begitu hina sekali.

Orang Melayu dikatakan sentiasa menilai kewibawaan dirinya dari zaman nenek moyang dahulu. Buktinya amat nyata kerana sebahagian daripada kita pasti merasa bangga apabila susur galur salasilah keluarga mempunyai perkaitan dengan mana-mana tokoh yang pernah berjasa kepada tanah air satu ketika dahulu.

Walaupun tanpa adanya susur galur keturunan yang menarik sekalipun, jiwa Melayu tetap mempertahankan satu elemen tradisi bangsa dan agama yang dipandang tinggi iaitu nilai sebuah maruah atau harga diri.

Disebabkan ingin menjaga maruah diri dan keluarga orang Melayu sanggup berkorban apa sahaja untuk tidak membiarkan dari dicela atau diaibkan oleh orang lain. Apatah lagi jika maruah bangsa Melayu itu sendiri dipermain dan diperdagangkan sesuka hati.

Jika orang Melayu dicela oleh orang lain, kemungkinan masalah itu boleh diatasi dengan menentangnya secara ofensif atau defensif. Cara ini kita dapat saksikan melalui perjuangan beberapa tokoh kemerdekaan negara dahulu. Perkara ini sudah pun berlalu.

Tetapi jikalau orang Melayu sendiri yang mencela bangsa sendiri atau membiarkan dengan rela bangsanya dicela, dipermain, ditunggang sesuka hati maka ia sudah menjadi perkara yang amat membimbangkan dan mendukacitakan.

Barangkali, akibat kepesatan kemajuan maka pemikiran sebahagian Melayu dengan rakus ingin menakluk segala kuasa dan darjat yang ada. Maka saranan barat agar “berfikir di luar kotak” dijana sebaiknya sehingga terlepas pandang bahawa ada perkara yang orang Melayu tidak patut biarkan ianya berada di luar kotak.

Sewajarnya orang Melayu dalam beberapa keadaan perlu “berfikir di belakang kotak” iaitu berusaha memastikan secara tersurat mahupun tersirat agar apa sahaja keistimewaan Melayu terpelihara dengan baik, tidak dengan sewenang-wenangnya diusik serta tidak pula mudah terperangkap dengan percaturan orang lain yang ingin melemahkan ikatan Melayu.

Tulisan ini merupakan respon peribadi penulis setelah berlakunya demonstrasi di ibu kota Kuala Lumpur pada Sabtu lalu (1 Ogos 200). Beberapa bulan lepas berhubung kejadian di Perak, sebahagian orang Melayu dengan perwatakan Islam (berjubah dan berserban) berjaya dihina secara halus oleh orang lain dengan sanggup berbaring di atas jalan raya sambil melaungkan kalimah Agung Allah Maha Besar.

Demonstrasi minggu lalu turut memaparkan kesan yang sama apabila sekali lagi maruah orang Melayu berjaya dihina dan dipergunakan. Laporan berita malam kejadian menyebut hampir enam ratus orang ditangkap. 583 orang daripadanya adalah orang Melayu, 3 orang India dan 2 orang Cina.

Jadi, apakah bukti yang menggambarkan maruah Melayu telah dihina?. Buktinya jelas kerana demontrasi yang bertujuan untuk menuntut kepentingan orang lain (dibaca kaum lain) tetapi disokong dan disertai oleh majoriti besar orang Melayu. Dimana orang lain yang katanya mempunyai prinsip perjuangan yang sama? Kenapa mereka tidak ikut serta?

Sebaliknya jika orang Melayu menuntut hak mereka yang sememangnya sudah termaktub di dalam Perlembagaan, adakah orang lain akan memberi sokongan. Tidak sama sekali. Inilah hakikat dan realiti orang Melayu perlu sedar bahawa sebahagian saudara kita telah berjaya dihina dengan cara yang amat halus tanpa disedari oleh mereka.

Sudah menjadi kebiasaan juga di dalam mana-mana demonstrasi yang dianjurkan kalimah suci Allah Maha Besar dilaungkan sesuka hati. Di zaman Nabi s.a.w dahulu kalimah takbir dilaungkan semasa berperang dengan musuh Islam dan panjinya dijulang oleh bukan sebarangan orang.

Sebaliknya di sini, kalimah takbir telah dijadikan mainan oleh segelintir Melayu yang mengaku Islam tetapi meletakkan nilai kalimah suci serendah di pinggir jalan. Apakah ini juga bukan bukti bahawa orang Melayu sendiri menghina kesucian agama sendiri tanpa sedar?

Benarlah pendapat Pendeta Za’aba bahawa salah satu faktor kemunduran Melayu ialah kurang hemah dan kurang budi pekerti. Zaman dahulu orang Melayu terkenal dengan budi pekerti serta tata susilanya.

Namun keadaan di hari ini menjadi agak runcing akibat pendedahan kepada anasir, budaya dan pengaruh luaran yang menyebabkan orang Melayu semakin bebas berlagak kurang sopan di dalam interaksi harian mereka.

Persoalan ini sama seperti kita berfikir kenapa kita sering diajak (melalui azan) untuk bersembahyang. Lalu ditafsir dan dijadikan papan tanda di setiap masjid “sembahyanglah kamu sebelum kamu di sembahyangkan”. Maksud mudahnya kita sembahyang kerana takutkan mati.

Walhal, hakikat yang sebenar saranan azan adalah untuk menuju kejayaan. Kalimah azan sendiri menyebut “Marilah menunaikan solat, Marilah menuju kejayaan”. Sedikit pun tidak disebut sembahyang sebagai persediaan untuk mati.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk sama-sama menyedarkan bahawa usaha untuk menjatuhkan maruah Melayu sering dibuat dengan pelbagai cara secara halus.

Bentengnya terletak kepada orang Melayu itu sendiri sama ada ingin mempertahankannya atau membiarkan dipijak sesuka hati. Jika maruah atau harga diri Melayu itu sendiri kita tidak boleh sepakat untuk mempertahankannya, bagaimana pula kita hendak mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu yang bakal dinikmati oleh generasi akan datang.

Mampukah pula mereka untuk mempertahankan keistimewaan tersebut sedangkan mereka sedikit pun tidak diberi peluang untuk merasainya.