Wednesday, April 7, 2010

Usaha terakhir Thaksin gugat Abhisit : Wawancara Bersama Utusan (8.4.10)



Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

GELOMBANG Baju Merah di Bangkok hampir pasti tidak akan reda dalam tempoh terdekat ini. Misi melumpuhkan kerajaan kali ini lebih nekad berbanding percubaan-percubaan sebelumnya. Selepas berjaya mencetuskan keadaan huru-hara sehingga melumpuhkan Bangkok tahun lalu, kumpulan Baju Merah yang merupakan ahli kepada Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD), mengharapkan kejayaan yang lebih besar.

Matlamat utama sudah semestinya menggulingkan kerajaan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva. Sejak mula berhimpun kira-kira dua minggu lalu, kumpulan hampir 100,000 orang itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk mengalah meskipun sebahagian besar daripada mereka mula berundur.

Abhisit hanya mempunyai satu pilihan untuk meredakan tunjuk perasaan dan mengembalikan ketenangan di Bangkok iaitu menuruti kemahuan kumpulan Baju Merah. Ini bermakna, Abhisit perlu meletakkan jawatan dan membubarkan kerajaannya serta mengadakan pilihan raya baru.

Keputusan ini sudah semestinya sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh Abhisit. Ini kerana menerima tuntutan itu bermaksud Abhisit dengan sendirinya membuka jalan kepada kejatuhan kerajaan beliau.

Abhisit pastinya sangat menyedari bahawa beliau tidak mempunyai sokongan yang kuat daripada sebahagian besar rakyat Thailand terutamanya di luar bandar.

Kedudukan Abhisit sebagai Perdana Menteri ketika ini juga tidak dipilih secara demokrasi menerusi pilihan raya. Sebaliknya beliau adalah pemimpin yang ditentukan oleh tentera ekoran pergolakan politik yang melanda Thailand sejak rampasan kuasa pada 2006 yang menggulingkan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Sejak itu, Thailand berkali-kali berganti pemimpin dan Abhisit adalah Perdana Menteri yang ketiga dalam tempoh setahun. Kedua-dua pemimpin sebelumnya iaitu Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat adalah proksi kepada Thaksin.

Lantaran itu, bertanding pada pilihan raya bukanlah satu kelebihan kepada Abhisit ketika ini kerana calon pro-Thaksin dijangka akan tetap memenangi pilihan raya baru. Bagaimanapun untuk menjangkakan gelombang Baju Merah ini berjaya memaksa Abhisit berundur juga adalah sesuatu yang sangat mustahil.

Kumpulan Baju Merah ini mungkin berjaya mengumpul ribuan penyokong. Tetapi kebanyakan mereka adalah penduduk luar bandar yang miskin dan tidak mempunyai pengaruh. Ini berbeza dengan Abhisit yang bukan hanya mendapat sokongan daripada golongan atasan dan industri, malah beliau juga direstui tentera dan raja.

Abhisit juga pastinya menyedari tunjuk perasaan ketika ini adalah jalan terakhir Thaksin untuk melemahkan kerajaan beliau. Ini kerana Thaksin yang kini dikatakan menetap di Dubai, semakin kehilangan kemampuan selepas kekayaannya disita oleh mahkamah Thailand.

Bagaimanapun, bagi pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan, pilihan yang baik bagi Abhisit meneruskan pemerintahan beliau adalah mencari peluang yang tepat dan sesuai untuk melibatkan tindakan ketenteraan terhadap penunjuk perasaan.

Peluang yang tepat bermaksud satu keadaan yang mana tindakan tentera tidak menimbulkan rasa takut serta kegelisahan kepada orang awam. Bahkan tindakan itu sebaliknya disokong oleh orang awam.

''Sokongan terhadap tindakan tentera oleh orang awam seperti itu pernah berlaku semasa junta tentera menggulingkan kerajaan Thaksin pada 2006," ujar pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu.

Bagaimanapun ramai yang berpendapat, campur tangan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej dan tentera barang kali boleh mengembalikan keamanan seketika meskipun tidak mampu menamatkan konflik.

Masyarakat dunia amat jelas betapa rakyat Thailand begitu menghormati raja mereka. Sekiranya Raja Bhumibol mengambil alih kerajaan menerusi tentera, sudah semestinya penyokong Baju Merah tidak akan menderhaka. Begitu juga sekiranya tunjuk perasaan di Bangkok dikuasai oleh penunjuk perasaan Baju Kuning atau Perikatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Ini secara tidak langsung dapat menamatkan aksi tunjuk perasaan yang menjejaskan keamanan dan ekonomi negara itu. Di Thailand yang sudah menyaksikan beberapa kali episod rampasan kuasa, campur tangan raja dan tentera seperti itu bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah dalam kebanyakan peristiwa itu, campur tangan raja dan tentera berjaya mengekalkan keamanan dan keselamatan Thailand.

Namun bagi Ahmad Zaki, sebarang campur tangan daripada raja atau tentera bukanlah satu jaminan ke arah mengembalikan semula proses demokrasi di Thailand. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Thai campur tangan raja atau tentera dapat mengembalikan semula proses demokrasi.

''Apa yang berlaku adalah campur tangan kedua-dua pihak tersebut hanya berupaya meredakan seketika pergolakan serta krisis politik di Thailand. Jauh sekali untuk mengembalikan proses demokrasi," jelas beliau.

Sesuatu yang pasti, penduduk selatan Thailand adalah yang paling malang ekoran krisis di Bangkok kerana nasib mereka semakin dipinggirkan oleh kerajaan Thailand. Ini dibuktikan dengan peningkatan kejadian bunuh di wilayah selatan sejak kebelakangan ini.

Sejauh mana krisis di Bangkok memberi kesan kepada krisis di selatan Thailand. Pergolakan serta krisis yang berlaku di Bangkok meminggirkan usaha-usaha untuk mencari penyelesaian di wilayah bergolak selatan Thailand yang ketika ini semakin meruncing.

Ini berlaku apabila kerajaan Abhisit terpaksa memberi perhatian sepenuhnya untuk mengekang serta mengawal situasi di Bangkok. Keadaan menjadi semakin tidak terkawal kerana terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan kerana yakin pihak kerajaan tidak mampu memberi perhatian dan bertindak segera.