Friday, December 11, 2009

Kunjungan Najib Bantu Thailand (Utusan 12.12.09)


Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Beberapa pakar akademik menyifatkan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke selatan Thailand merupakan satu langkah proaktif dalam meredakan konflik di wilayah itu bagi jangka masa panjang.

Menurut pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzamuddin Sulaiman, kehadiran pemimpin Malaysia ke sana tepat pada masanya dalam membantu Thailand mewujudkan keamanan di wilayah berkenaan.

Malah, beliau berkata, kesanggupan negara memberi tajaan biasiswa dan melatih guru dari selatan Thailand menunjukkan Malaysia komited dalam membantu membangunkan taraf hidup masyarakat Islam di sana.

‘‘Negara sebenarnya mengambil tindakan paling asas dalam menyelesaikan konflik di sana dengan membantu meningkatkan kualiti pendidikan masyarakat Islam di selatan Thailand,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lawatan Najib bersama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva di Narathiwat, selatan Thailand kelmarin.

Dalam lawatan itu, Najib turut mengumumkan bantuan penajaan biasiswa dan latihan kepada guru dari Institut Islam Attakiah serta pelajar di wilayah tersebut.

Ahmad Nidzamuddin berkata, Thailand tidak boleh bersendirian menamatkan krisis di wilayah bergolak itu.

‘‘Dalam hal ini, mereka amat memerlukan peranan Malaysia kerana kita berkongsi sentimen sama dari segi agama dan kebudayaan dengan penduduk Islam selatan Thailand,’’ katanya.

Sementara itu, pensyarah Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Zaki Hassan, berkata kunjungan Najib memberikan satu isyarat bahawa rakyat di sana mahukan perhatian daripada Malaysia.

‘‘Sebelum ini, Abhisit tidak berani turun ke sana seorang diri namun akhirnya berbuat demikian dengan kehadiran Najib, ia menunjukkan rakyat di sana gembira dengan kedatangan pemimpin kita,’’ jelasnya.

Tambahnya, negara perlu memperluaskan lagi bantuan pendidikan kepada masyarakat Islam di sana supaya dapat membantu mereka membangunkan taraf ekonomi secara tidak langsung.

Bagi pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, beliau berharap kedatangan Najib dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam di Thailand mengenai erti perpaduan.

‘‘Di dalam pertemuan Najib dengan penduduk di sana semalam, beliau meminta agar umat Islam di sana menunjukkan teladan yang baik selari dengan tuntutan agama.

‘‘Mereka perlu mempelajari bagaimana umat Islam di negara kita dapat hidup dalam keadaan aman walaupun terdapat pelbagai bangsa dan agama,’’ katanya.