Thursday, February 28, 2013

 

Bantu makmurkan selatan Thailand

MALAYSIA telah lama diperakui mampu memainkan peranan pihak berkecuali dan menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian antara kerajaan negara-negara jiran dengan kumpulan yang menimbulkan konflik di negara tersebut.
Ekoran kejayaan Kuala Lumpur membantu dalam mencari penyelesaian di Selatan Filipina, Aceh dan beberapa negara lain sebelum ini, beberapa negara bergolak meminta Malaysia terus memainkan peranan aktif selaku orang tengah di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, Thailand yang menghadapi pemberontakan bersenjata sejak beberapa tahun lalu di selatan negara tersebut berharap Malaysia dapat menjadi orang tengah dalam perbincangan yang akan diadakan dengan pemberontak.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC), Paradorn Pattanathabutr turut mendakwa ada kumpulan pemberontak itu yang beroperasi di Malaysia dan kerjasama Kuala Lumpur diperlukan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.
Walaupun sebelum ini beberapa siri perbincangan berlangsung, gencatan senjata nampaknya tidak kekal lama khususnya apabila berlaku pertukaran kerajaan yang mendadak, membawa kepada perubahan dasar dan polisi keselamatan.

Keselamatan selatan Thailand yang seolah-olah diabaikan kerajaan baharu itu menyebabkan pergolakan berulang dan situasinya semakin teruk apabila melibatkan pihak bersenjata.
Sejauh mana Malaysia selaku orang tengah mampu mencapai kata sepakat yang boleh diterima kedua-dua belah pihak atau mungkin Kuala Lumpur dapat menghulurkan bantuan dalam bentuk lain kepada penduduk selatan Thailand.

Bagi Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, Malaysia terbukti tiada kepentingan peribadi dan mampu menjadi mediator melalui beberapa kejayaan sebelum ini, khususnya yang melibatkan masyarakat Islam.
"Sebelum ini juga saya pernah usulkan kita bantu dalam situasi di selatan Thailand. Hari ini sudah nampak bibit-bibit Malaysia diberi peluang memainkan peranan dan saya yakin kita akan cipta satu lagi jihad membantu umat Islam di samping menjamin kelangsungan Thailand.
"Kepercayaan umat Islam selatan Thailand kepada kita memberi kelebihan untuk Malaysia mencari penyelesaian kekal, khususnya dalam isu keselamatan dan kedaulatan mereka," katanya.

Tegasnya, konflik tersebut bukan hanya melibatkan kerajaan Thailand dan rakyat di wilayah selatan negara itu tetapi turut memberi impak kepada Malaysia.
Beliau mencadangkan penggunaan konsep 'Kemakmuran Jiran' bagi mencari situasi menang-menang untuk ketiga-tiga pihak dengan Malaysia sebagai orang tengah yang mencadangkan usul demi kebaikan semua.
"Malaysia perlu meyakinkan kerajaan Thailand dan rakyat di wilayah selatan menerima satu kesepakatan melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan seperti mana dicapai di selatan Filipina.

"Kemakmuran dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan mana-mana pihak, menjamin keselamatan, membangunkan ekonomi dan juga sosial rakyat wilayah selatan yang turut memberi impak kepada Thailand dan Malaysia," ujarnya.
Menurut beliau, konsep Kemakmuran Jiran terbukti berjaya dan pernah juga diketengahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika pentadbirannya dahulu dalam hubungan negara dengan Singapura.
Mohamad Faisol menegaskan, selain persetujuan kerajaan Thailand, rakyat di wilayah selatan juga perlu diyakinkan penyelesaian aman itu tidak akan menjejaskan kedaulatan, keselamatan mahupun agama mereka seperti mana dinikmati wilayah autonomi bercirikan Islam di selatan Filipina.

"Penyelesaian ini tidak menjejaskan kedaulatan Thailand sementara rakyat di selatan dapat terus bangunkan Islam tanpa konflik jati diri, bimbangkan keselamatan dan kedaulatan mahupun khuatir kehilangan sejarah mereka.
"Jika ada sebarang pertikaian, semua pihak perlu berbincang dan menyelesaikannya secara baik. Penyelesaian konflik ini juga dapat mengelakkan tuduhan negatif kononnya Malaysia menjadi pusat operasi pemberontak kelak," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menolak kebarangkalian Malaysia menggunakan pendekatan ketenteraan dalam membantu Thailand menyelesaikan konflik di wilayah selatan negara itu.
"Langkah ketenteraan jauh daripada norma kita, di Filipina dahulu pun kita cuma bertindak sebagai pasukan tentera pengaman dan pemerhati.
"Di Thailand, kita juga boleh menghantar pasukan tentera pengaman tetapi hanya atas jemputan kerajaan mereka sahaja. Selain itu, kita boleh guna diplomasi untuk bendung impak negatif kepada Malaysia," katanya.

Beliau turut mencadangkan Thailand dan Malaysia mewujudkan zon pembangunan kemakmuran bersama di wilayah bergolak seperti Yala, Patani dan Narathiwat.
Jelasnya, langkah tidak rasmi itu hanya untuk membantu pembangunan ekonomi dan sosial penduduk tanpa mencampuri urusan pentadbiran negara mahupun wilayah tersebut.
"Usaha pembangunan bersama antara Thailand dan Malaysia akan menunjukkan kepada rakyat wilayah tersebut mereka tidak dianaktirikan dan mengelak risiko tercetuskan kekacauan.
"Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand juga tidak boleh melupakan aspek kawalan senjata api di wilayah-wilayah tersebut bagi menjamin perdamaian yang dicapai dapat dikekalkan," tegasnya.

Mohamad Faisol mendakwa, kelemahan dalam kawalan senjata api di wilayah-wilayah bergolak terbabit juga menjadi punca krisis tersebut semakin meruncing.
"Orang kampung biasa tiada masalah dengan kawalan senjata api. Golongan ini juga memang bersedia berbincang dengan kerajaan Thailand untuk menyelesaikan masalah secara aman.
"Berdasarkan pembacaan dan dokumentari, saya lihat masalah semakin teruk bukan kerana pemberontakan tetapi akibat campur tangan penjenayah, tauke dadah dan penyeludup senjata yang menarik penyertaan orang muda berdarah panas," ujarnya.
Tambah beliau, kumpulan penyeludup dan penjenayah terbabit susah mencari makan jika suasana aman dan kerana itu mereka mahukan situasi tidak stabil agar mudah untuk bergerak.

Sementara itu, penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara), Ahmad Zaki Hassan berpendapat Thailand sebelum ini kelihatan mampu menangani sendiri situasi di wilayah selatan negara itu tetapi akhirnya memerlukan bantuan juga.
"Pentadbiran Perdana Menteri baharu Thailand pada awalnya nampak boleh selesaikan masalah tersebut dengan memberi perhatian sewajarnya termasuk melakukan lawatan peribadi.
"Tapi, beberapa ketika selepas itu beliau 'hilang' dan ini menyebabkan timbul kembali perasaan diabaikan dan kerajaan gagal beri perhatian sewajarnya," jelasnya.
Beliau berpendapat keupayaan Malaysia dalam menguruskan perundingan jelas menonjol hasil beberapa perkembangan di negara lain dan dilihat mampu membawa kejayaan dalam situasi di Thailand kini.
"Pada satu tahap sebelum ini, Thailand seperti dapat menguruskannya sendiri tetapi ia tidak berlaku seperti diharapkan dan akhirnya memerlukan bantuan Malaysia juga.
"Jika kini mahu selesaikan sendiri pergolakan itu mungkin sudah tidak mampu. Tambahan pula, kumpulan yang arif tentang situasi di selatan Thailand juga ramai di Malaysia," katanya.