Saturday, November 28, 2009

Keganasan Ambang Pilihanraya: Wawancara Bersama Utusan (28.11.09)



Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

AKSI kekerasan yang meragut banyak nyawa menjelang pilihan raya di Filipina bukanlah sesuatu yang pelik. Di negara yang kebanyakan wilayahnya sebelum ini dikuasai oleh dinasti-dinasti politik, perubahan kekuasaan secara demokrasi mencetus kepada ketegangan antara puak-puak yang berkuasa.

Hakikat itu juga dinilai oleh kebanyakan pemerhati politik tempatan sebagai punca kepada keganasan di Ampatuan, iaitu sebuah wilayah pergunungan di selatan Filipina, awal minggu lalu.

Dalam erti kata yang lain, kejadian yang membunuh kira-kira 45 orang yang diserang sekumpulan kira-kira 100 orang yang tidak dikenali itu menandakan bahawa bermulanya episod pilihan raya baru di negara tersebut.

Kejadian itu berlaku ketika rombongan puak Manguadadatu dalam perjalan ke wilayah Maguindanao bagi mencalonkan wakil mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum yang dijadualkan Mei tahun depan. Sedangkan wilayah berkenaan sejak sekian lama didominasi oleh dinasti Ampatuan yang didokong oleh kumpulan paramiliter.

Meskipun kejadian keganasan membabitkan puak Ampatuan bukanlah sesuatu yang baru, namun kejadian itu menimbulkan kemarahan massa kerana ia membabitkan jumlah korban yang tinggi.

Selain isteri kepada calon Gabenor puak Manguadadatu serta dua orang anak perempuannya yang dibunuh, turut menjadi mangsa ialah kira-kira 10 orang wartawan tempatan yang menyertai konvoi tersebut.

Di kalangan penduduk, ia menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya aksi balas daripada puak Manguadadatu dan menjadikan krisis itu semakin buruk.

Kejadian itu juga meningkatkan tekanan ke atas Presiden Filipina, Arroyo Macapagal yang di hujung usia pemerintahannya apatah lagi puak Ampatuan merupakan penyokong kuat beliau selama ini.

Keadaan itu memaksa Arroyo mengisytiharkan darurat di dua buah wilayah berkenaan dan mengerahkan pasukan keselamatan menjejak pihak yang bertanggungjawab dan menyelamatkan mangsa yang masih diculik.

Bagaimanapun, ramai yang skeptikal dengan perhatian Arroyo itu kerana dalam sejarah keganasan melibatkan puak Ampatuan, tidak ada pihak yang akhirnya dijatuhkan hukuman.

Ketika ramai yang menilai kejadian itu lebih kepada pergeseran antara puak, kelibat kumpulan Abu Sayyaf sebagai pihak yang bertanggungjawab juga menjadi kebimbangan banyak pihak.

Pembabitan kumpulan militan yang mempunyai hubungan dengan jaringan al-Qaeda itu dinilai sebagai percubaan membalas dendam selepas operasi besar-besaran kerajaan membanteras saki-baki kumpulan itu.
Manila sejak Oktober lalu melancarkan operasi itu di wilayah selatan bersama-sama dengan anggota tentera Amerika Syarikat (AS). Dalam operasi itu, Filipina berjaya membunuh komandan kanan al-Qaeda, Abdullah Ajijul yang dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf serta 70 orang pengikut yang lain.

Namun, bagi pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan, beliau melihat usaha kerajaan Filipina untuk melemahkan pergerakan kumpulan Abu Sayyaf masih belum cukup kuat.

Atas dasar itu tambah pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, kumpulan Abu Sayyaf akan sentiasa menjadi ancaman terhadap usaha mewujudkan kestabilan di wilayah selatan Filipina.

Bagaimanapun, keganasan terbaru di wilayah Maguindanao bagi Ahmad Zaki, lebih cenderung kepada pergeseran membabitkan puak. Ini kerana pergeseran membabitkan kedua-dua puak mempunyai sejarah yang panjang serta mudah pula melancarkan serangan balas antara satu sama lain.

''Justeru, Filipina perlu mengambil tindakan yang tegas dan adil kepada sesiapa sahaja yang menjadi dalang kepada peristiwa berdarah ini. Ia bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang apatah lagi tempoh pendaftaran sebelum menjelangnya pilihan raya sebenar masih panjang,'' katanya.

Sesuatu yang pasti, kejadian itu semakin menjejaskan kredibiliti terhadap kepimpinan Arroyo yang ketika ini sekali pun sedang menghadapi krisis kepercayaan terendah sepanjang Sembilan tahun pemerintahannya.

Dalam satu pungutan suara tidak rasmi di negara itu baru-baru ini, kira-kira 51 peratus penduduk tidak lagi mempercayai kepimpinan beliau. Malah, calon yang dipilih oleh Arroyo bagi menggantikan beliau iaitu bekas Menteri Pertahanan, Giloberto Gilbo juga hanya mendapat sokongan yang kecil.

Sebaliknya calon lain iaitu Beningo Noynoy Aquino dan Manuel Villar serta bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada ternyata lebih popular.

Krisis keyakinan terhadap Arroyo semakin memburuk selepas beliau gagal bertindak dengan cepat ketika negara itu beberapa kali berdepan dengan taufan yang meragut banyak nyawa.

Namun bagi Ahmad Zaki, masa depan Arroyo pada pilihan raya tahun depan bergantung kepada siapa yang akan menjadi Presiden Filipina pada tahun hadapan.

Jika calon pilihan beliau, Gilbert Teodoro berjaya maka harapan untuk Arroyo menempatkan diri di salah satu kerusi Kongres akan mudah tercapai. Namun tambah beliau, peluang sekarang dilihat terbuka luas kepada Beniqno Aquino untuk mengambil alih tugas Arroyo memandangkan rekod semasa beliau yang bersih serta populariti beliau yang semakin menonjol.

''Malah beliau turut mendapat laba hasil daripada pengaruh ibunya yang pernah mengetuai revolusi rakyat menggulingkan pemerintahan diktator, Ferdinand Marcos pada 1986,'' jelas Ahmad Zaki.

Sunday, November 22, 2009

Di Sebalik Ketegangan Thailand-Kemboja


Oleh : Ahmad Zaki Hasan

Perkembangan terkini yang melibatkan hubungan antara dua negara berjiran Thailand dan Kemboja dilihat semakin tegang. Ini berikutan apabila Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bertindak melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai Penasihat Ekonomi kepada kerajaan Kemboja.

Tidak cukup dengan perlantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi, Hun Sen selepas itu turut menolak permintaan Thailand supaya bekas Perdana Menteri itu diekstradisikan ke negara gajah putih.

Tindakan Hun Sen ini menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vijjajiva kerana Thaksin merupakan individu yang dikehendaki oleh Bangkok. Untuk rekod, Thaksin digulingkan dalam satu siri kudeta pada September 2006 dan kini hidup dalam buangan bagi mengelakkan hukuman penjara di Thailand kerana kesalahan rasuah.

Perbalahan antara kedua-dua ketua negara ini menyemarakkan lagi ketegangan sedia ada sekaligus merosakkan usaha ke arah memupuk semula perpaduan antara Thailand dan Kemboja yang cuba diredakan melalui semangat negara anggota pertubuhan ASEAN.

Jika diteliti, pertelingkahan antara Kemboja dan Thailand berhubung isu perlantikan Thaksin bukanlah satu isu yang baru kerana kedua-dua negara terbabit sudah memiliki rekod pertikaian lama berhubung perebutan kawasan di bahagian sempadan.

Secara umum, apabila Kemboja mencapai kemerdekaan dari Perancis pada 1954, kuil ini dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Kemboja. Di masa yang sama, tentera Thai turut menduduki kawasan dan kuil tersebut sehingga menyebabkan Kemboja membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 1959.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kemudiannya telah memutuskan bahawa kuil Preah Vihear menjadi hak milik Kemboja pada tahun 1962. Bagaimanapun penyerahan tersebut tidak meliputi kawasan seluas 4.6 kilometer persegi yang sebenarnya menjadi punca perebutan antara Thailand dan Kemboja.

Oleh kerana tanah berhampiran kawasan kuil ini dibiar ‘tergantung’ tanpa mempunyai rekod hitam putih milik mana-mana pihak maka ia menjadi kawasan ‘panas’ dan diletakkan di bawah perhatian pasukan keselamatan kedua-dua buah negara.

Pada tahun 2006, Kemboja telah mengusulkan kepada Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk menjadikan kuil Preah Vihear dan kawasan sekitarnya sebagai tapak warisan dunia. Bagaimanapun hasrat Kemboja ketika itu tidak direstui oleh Thailand kerana kawasan tersebut masih menjadi sengketa perbatasan.

Pada tahun 2008, Kemboja meneruskan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut dengan mengubah peta kuil serta mengeluarkan kawasan yang menjadi pertikaian untuk membolehkan UNESCO menerima cadangan tersebut. Thailand yang ketika itu di bawah pemerintahan Perdana Menteri Samak Sundaravej turut menyokong permohonan Kemboja.
Hasilnya, pada Julai 2008 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju memasukkan kuil Preah Vihear sebagai Tapak Warisan Dunia. Namun, pengiktirafan ini sekali lagi mengundang konflik apabila Thailand mendakwa sokongan terhadap permohonan Kemboja hanya terhad kepada kuil dan tidak termasuk kawasan sekeliling yang menjadi pertikaian.

Akibat daripada itu, sokongan tersebut ditarik semula oleh Samak berikutan tindakan awalnya mendapat tentangan daripada sebahagian besar rakyat Thailand yang beranggapan kawasan itu masih milik mereka. Kesilapan ini turut memaksa Mahkamah Pentadbiran Thailand campur tangan serta menyebabkan Menteri Luar Thailand ketika itu, Noppadon Pattama meletakkan jawatan.

Sejak dari itu, pertempuran di kawasan tersebut dilaporkan sering tercetus dengan insiden pada tahun 2008 menyaksikan berlakunya kematian yang melibatkan anggota tentera Kemboja. Penduduk kawasan sekitarnya turut dipindahkan kerana wujud kebimbangan akan tercetus peperangan diantara kedua-dua buah negara terlibat.

Pertikaian yang melibatkan Thailand dan Kemboja ini sudah beberapa kali dibawa ke peringkat antarabangsa termasuk menarik perhatian PBB. Namun, sehingga kini belum mampu mencapai tahap membentuk satu resolusi yang ideal disebabkan kuasa besar melihat krisis tersebut sebagai konflik bilateral yang sewajarnya ditangani secara berhemah oleh negara yang bertelagah.

Bahkan, melalui persidangan ASEAN sendiri perkara ini turut disentuh tetapi masih gagal menemui jalan keluar disebabkan kedua-dua buah negara menolak untuk menerima campur tangan luar. Walau bagaimanapun, inisiatif Thailand dan Kemboja bagi menyelesaikan konflik ini secara rundingan bersama ibarat menempuh lorong gelap yang tiada penghujung.

Disebalik apa yang telah berlaku melalui hubungan tegang Thailand-Kemboja, pelbagai yang tersirat dapat disuratkan. Berhubung isu perlantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi Kemboja, secara jelas dapat dinilai bahawa punca utama kemarahan Bangkok adalah kerana Phnom Penh tidak peka terhadap sensitiviti kerajaan pimpinan Abhisit yang berusaha untuk menghapuskan pengaruh Thaksin di Thailand.Kesediaan Hun Sen memberi ruang selesa kepada Thaksin seolah cuba melontar satu provokasi dan mencabar kewibawaan Thailand.

Jika diperhalusi kepada isu perbalahan mengenai kawasan sempadan pula dapat dilihat bahawa sebenarnya bukanlah bertitik tolak daripada pertikaian pemilikan kawasan seluas 4.6 kilometer persegi tersebut. Ini kerana rakyat kedua-dua buah negara sebelum ini bebas untuk mengunjungi kawasan sekitar kuil berkenaan.

Hakikat yang sebenar adalah kerana mementingkan isu persempadanan negara iaitu semangat untuk mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara masing-masing. Kedua-dua buah negara telah memperlihatkan pendirian yang jelas dengan tidak teragak-agak menggunakan stratergi ketenteraan dalam menyelesaikan pertelingkahan tersebut.

Malah, sentimen dikalangan rakyat Kemboja sendiri jelas menunjukkan kesanggupan mereka untuk berkorban di medan perang hanya semata-mata bagi mempertahankan kawasan tersebut.

Dari satu sudut yang lain, ketegangan hubungan Thailand-Kemboja disifatkan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan sebagai pertelingkahan yang memalukan sepuluh negara blok serantau ASEAN serta menjejaskan kredebiliti pertubuhan tersebut. Apatah lagi, dalam keadaan ASEAN cuba menyakinkan dunia dengan kemampuan negara anggota untuk bersepakat ketika pertemuan bersejarah dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Singapura pada pertengahan November lalu.

Sesuatu yang boleh diambil pengajaran daripada konflik yang berlaku ke atas Thailand dan Kemboja adalah tentang peri-pentingnya sikap toleransi dan saling hormat-menghormati yang menjadi dasar kepada perhubungan di antara negara yang berjiran.
Ini kerana dalam soal hubungan Thailand-Kemboja masih terdapat banyak ruang untuk sama-sama mendapat manfaat yang lebih besar dan bukan semua yang berlaku adalah bersifat negatif.

Wednesday, November 18, 2009

Demokrasi Myanmar : Wawancara Bersama Utusan (19.11.09)


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

ADA perkembangan positif dalam dimensi demokrasi di Myanmar yang diperintah oleh junta tentera lewat pertemuan peribadi antara Perdana Menteri, Jeneral Thein Sein dengan Presiden Barack Obama.

Kedua-dua mereka bertemu dalam sesi berasingan sewaktu persidangan Negara-Negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Singapura baru-baru ini. Dalam pertemuan singkat itu, Obama dan Sein dikatakan sempat membincangkan beberapa perkara mengenai isu dalaman Myanmar.

Ia termasuk mengenai pembebasan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi yang ditahan sejak 2003 serta pembebasan tahanan politik yang lain.

Obama juga dikatakan meminta Sein menghentikan penindasan ke atas kaum minoriti di negara itu dan membenarkan sebuah pilihan raya yang adil, telus dan bebas berlangsung di negara itu.

Myanmar dijangka mengadakan pilihan raya umum tahun depan selepas pilihan raya terakhir pada 1990. Pada pilihan raya itu, parti pimpinan Suu Kyi, Liga Demokrasi Nasional (NLD) dinafikan kemenangannya oleh junta tentera.

Pertemuan Obama-Sein itu dinilai banyak pihak sebagai satu perkembangan penting setelah AS memutuskan hubungan multilateral dengan Myanmar kerana rekod hak asasinya yang buruk dan menolak demokrasi.

Namun timbul persoalan sejauh manakah perhatian AS itu mampu merubah pendirian junta tentera Myanmar dalam amalan pemerintahan di negara itu.

Ini kerana sejak negara itu jatuh ke tangan junta tentera pada 1962, kebanyakan pemerhati politik menilai Myanmar telah berada pada sisi sejarah yang salah.

Penilaian itu pastinya merujuk kepada dasar dasar dalaman Myanmar yang keras selain tindakan menutup pintu kepada negara luar. Justeru dalam perkembangan terbaru ini, suara Obama dilihat hanya berkesan jika saranan beliau diberi perhatian positif oleh pemimpin junta Myanmar.

Meskipun tidaklah sepenuhnya, namun memadai dalam beberapa perkara yang dilihat memberi dimensi baru dalam aspek pemerintahan negara itu terutamanya penglibatan orang awam dalam menentukan hak di negara mereka sendiri.

Bagaimanapun, bagi pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan, Myanmar tidak akan berbuat sesuatu yang lebih daripada itu. Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) juga secara peribadi berpendapat, Myanmar cenderung untuk tidak memberi perhatian serius terhadap saranan yang dikemukakan oleh AS.

Ini kerana junta tentera Myanmar dilihat masih tidak bersedia untuk memberi ruang kepada amalan demokrasi di negara itu. Perkiraan itu ujar Ahmad Zaki sangat mudah, yang mana kesediaan junta tentera memberi ruang kepada proses demokrasi bermakna kesediaan untuk mengurang serta menjatuhkan dominasi mereka di dalam politik dan pentadbiran negara.

Maka atas dasar itu, harapan untuk pilihan raya tahun hadapan berlangsung secara telus dan lebih adil adalah sukar dicapai.

Sebaliknya, pilihan raya itu tidak dapat mengelak daripada pendekatan militer yang mana sebahagian besar proses adalah di bawah kawalan pihak junta.

Ahmad Zaki menambah, Jika dalam soal asas iaitu pemerintahan secara demokrasi ditolak oleh junta Myanmar, maka soal-soal lain seperti penindasan terhadap golongan minoriti juga tidak akan diberi perhatian yang sewajarnya.

Bagi Myanmar, tidak wujud istilah 'penyelesaian segera' kepada sebarang masalah dalaman negara itu memandangkan semuanya dikawal oleh junta.

"Disebabkan itu juga, apabila melibatkan hubungan dengan negara luar maka penyelesaian secara bersama (dua hala) jarang berlaku dengan baik. Sehinggakan di dalam konteks ASEAN sendiri, Myanmar sering disebut sebagai duri dalam daging," ujar beliau.

Bagaimanapun, ada yang lebih menarik untuk diperhatikan sekiranya Myanmar bersedia menurut kemahuan AS kali ini. Dalam keadaan itu, dunia pastinya menunggu untuk melihat apakah yang termampu dilakukan oleh AS dalam memastikan Myanmar bersifat lebih terbuka.

Apa pula kekuatan yang ada pada Obama bagi memastikan Myanmar akur pada saranannya sedangkan sebelum ini rekod menunjukkan bahawa Myanmar sedikit pun tidak pernah merasa resah dengan apa jua tekanan antarabangsa.

Malah junta tentera masih mampu membuktikan bahawa pemerintahan sedia ada merupakan yang terbaik untuk negara itu buat masa ini. Namun dalam masa sama jelas Ahmad Zaki, penghargaan wajar diberikan kepada Obama kerana menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh terhadap beberapa isu yang dihadapi oleh dunia.

Penglibatan beliau sekurang-kurangnya mampu memberi tekanan kepada Myanmar untuk menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara luar.

Sekiranya perhatian Obama itu mampu membawa perkembangan positif, maka manfaatnya bukan sahaja diperoleh Myanmar, bahkan akan turut sama dirasai oleh negara-negara lain.

Dari sudut lain, perhatian AS turut memberikan makna yang signifikan khususnya kepada negara Asean yang mana Obama pastinya mempunyai sebab tersendiri untuk merapatkan merapatkan hubungan dengan negara di rantau ini.

''Paling tidak, tentulah Obama (AS) melihat kepentingan yang bakal diwujudkan di dalam bidang ekonomi, perdagangan serta tidak mustahil dalam aspek pertahanan," ujar beliau.

Sunday, November 15, 2009

Sejauh Mana Suara Obama



SINGAPURA 15 Nov. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama hari ini meminta junta Myanmar membebaskan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dalam interaksi bersemuka dengan pemimpin tinggi pemerintah tentera negara itu, perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Obama menyampaikan mesej tegas itu dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin 10 negara anggota ASEAN, termasuk Perdana Menteri Myanmar, Jeneral Thein Sein.

Setiausaha Akhbar White House, Robert Gibbs memberitahu pemberita bahawa Obama menyeru Myanmar membebaskan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Suu Kyi dan tahanan politik lain serta menamatkan penindasan ke atas kumpulan minoriti.

“Obama menyatakan perkara itu secara langsung dengan kerajaan itu,” kata Gibbs lagi, menandakan Presiden AS itu berbicara kepada Thein Sein.

Sejak berdekad lamanya, kerajaan Barat mengelak dari berhubung langsung dengan pemimpin-pemimpin Myanmar kerana rekod hak asasi manusianya yang teruk dan tidak mengamalkan demokrasi.

Kenyataan bersama selepas sidang kemuncak itu – julung kali melibatkan Presiden AS dan ASEAN – memuatkan satu perenggan mengenai Myanmar, satu gangguan utama dalam hubungan antara kedua-dua pihak.

Namun kenyataan tersebut tidak menyebut mengenai pembebasan tahanan politik, termasuk Suu Kyi, yang menghabiskan 14 daripada 20 tahun lalu di bawah tahanan rumah oleh rejim tentera. Ia hanya mendesak Myanmar agar memastikan pilihan raya yang akan diadakan tahun depan ‘berlangsung secara bebas, adil, merangkumi semua dan telus’.

Namun, permintaan terus daripada Obama sendiri memberi tekanan tersendiri kerana beliau adalah pemimpin paling berkuasa yang pernah menyampaikan mesej secara berdepan kepada pegawai tinggi Myanmar.

Saturday, November 14, 2009

Apa Muslihat Kemboja : Wawancara Bersama Utusan (14.11.09)


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

MELANTIK bekas pemimpin sesebuah negara sebagai penasihat dalam bidang tertentu kepada negara yang lain bukanlah sesuatu yang pelik. Tetapi dalam pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat kewangan kepada kerajaan Kemboja, tindakan itu dilihat tidak ubah seperti mencurah minyak ke atas api.

Dalam keadaan hubungan diplomatik dua negara bersempadan itu yang sememangnya dingin, tindakan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen tersebut meningkatkan lagi ketegangan sedia ada.

Thailand dan Kemboja sebelum ini pernah beberapa kali mencetuskan kebimbangan di kalangan negara ASEAN terhadap kemungkinan tercetusnya perang. Ia berpunca daripada perebutan kuil Preah Vihear berusia 900 tahun. Kuil itu terletak di perbatasan kedua-dua negara yang didakwa sebahagian daripada wilayah masing-masing.

Perebutan berpuluh-puluh tahun ke atas salah sebuah tapak warisan penting dunia itu memaksa angkatan tentera kedua-dua negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Dalam perkembangan terbaru ini, Hun Sen menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vijjajva apabila melantik Thaksin sebagai penasihat kewangan negara itu.

Sebelumnya, Abhisit pernah menyuarakan rasa kurang senang terhadap Kemboja yang memberi ruang kepada konglomerat milik Thaksin beroperasi di negara itu. Malangnya, Hun Sen bukan sahaja menolak untuk menggunakan pendekatan secara berdiplomasi, bahkan menawarkan pula perlindungan dan melantik Thaksin ke jawatan penting negara itu.

Tindakan itu memaksa Bangkok memanggil pulang dutanya dan menutup pintu sempadan antara kedua-dua negara. Agak sukar untuk menentukan apakah sebenarnya niat Kemboja untuk tidak memilih pendekatan yang lebih harmoni dalam hubungan dengan negara jirannya itu.

Hun Sen tentunya menyedari situasi politik yang dihadapi Thaksin yang kini menjadi orang buruan Thailand atas dakwaan salah guna kuasa. Thaksin yang digulingkan dalam rampasan kuasa tiga tahun lalu berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya dua tahun, memaksa beliau kini mencari perlindungan di luar negara.

Malangnya, Hun Sen bukan sahaja enggan mengekstradisi Thaksin kepada Bangkok, malah menawarkan pula kedudukan penting atau lebih tepat memberi perlindungan kepada beliau.

Hun Sen dalam mewajarkan tindakannya itu mendakwa tuduhan ke atas Thaksin tidak benar dan lebih bermotifkan politik. Malah tegas Hun Sen, jika benar Thaksin bersalah sekali pun, beliau tidak akan sesekali menyerahkan Thaksin kepada Bangkok kerana Thaksin merupakan tahanan politik.

Sedangkan persetujuan ekstradisi kedua-dua negara hanya melibatkan penjenayah dan bukannya tahanan politik. Dalam pelantikan Thaksin itu juga, Hun Sen menjelaskan ia mengambil mengambil kira kecekapan beliau menguruskan ekonomi Thailand sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Justeru, Thaksin yang kini sudah pun berada di Phnom Penh iaitu dua hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya, hanya akan bertanggungjawab dalam soal hal ehwal ekonomi negara tersebut.

Tetapi bagi pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan, apa yang dilakukan oleh Hun Sen itu lebih kepada tindakan secara peribadi. Hun Sen katanya, seolah-olah menghantar satu isyarat mudah dan jelas kepada Abhisit bahawa Phnom Penh tidak semudah yang disangka akan mengikut segala kemahuan Bangkok.

Dalam erti kata yang lain, Hun Sen seboleh-bolehnya ingin menunjukkan bahawa Kemboja akan mengutamakan kepentingan mereka dalam apa jua aspek yang mempunyai pertentangan dengan Bangkok.

Sikap dan keputusan Kemboja itu juga bertujuan memberi tekanan kepada Thailand untuk membuka ruang tawar-menawar dalam perkara-perkara sensitif antara kedua negara terutamanya perebutan perbatasan.

Atas dasar itu, dapat diperhatikan Hun Sen sentiasa mengambil pendekatan yang berlawanan dengan keputusan Abhisit. Sebagai contoh, apabila Bangkok memberi reaksi untuk menutup sempadannya dengan Kemboja.

Hun Sen sebaliknya hanya bersikap bersahaja tanpa menunjukkan minat untuk mengambil pendekatan yang sama. Penilaian terhadap tindakan ini pastinya akan memberi kesan buruk kepada Abhisit kerana 'memulakan' tindakan yang lebih drastik apabila ingin menutup pintu sempadan antara kedua-dua buah negara.

Abhisit juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung semua rundingan dengan Kemboja termasuk pembahagian sumber tenaga di sepanjang sempadan laut Teluk Thailand ditangguhkan.

Ternyata, walaupun dunia melihat pertikaian baru Thailand-Kemboja ini disebabkan oleh tindakan Hun Sen yang tidak menghormati Thailand, tetapi kesan pertembungan yang lebih besar adalah disebabkan oleh reaksi Abhisit yang kelihatan sedikit gelojoh.

''Dengan kata lain, Abhisit seakan gagal memberi pertimbangan yang lebih baik terhadap provokasi halus Hun Sen serta Thaksin sendiri," ujar pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.


Sesuatu yang pasti, pertelingkahan terbuka seperti yang berlaku ketika ini tidak wajar dibiarkan berterusan. Sebaliknya, kedua-dua belah pihak perlu memilih pendekatan yang lebih berdiplomasi serta mengutamakan semangat dan kerjasama Asean yang masih segar.

Jika diabaikan tambah Ahmad Zaki, tidak mustahil akan mengheret kepada pertentangan yang lebih buruk, sekali gus menutup peluang mewujudkan hubungan yang lebih positif antara kedua negara.

"Ini kerana dalam soal hubungan Thailand-Kemboja masih terdapat banyak ruang untuk sama-sama mendapat manfaat dan bukan semua yang berlaku adalah bersifat negatif," tambah beliau.

Justeru dalam hal ini, Kemboja sepatutnya lebih sensitif dalam sebarang tindakannya lebih-lebih lagi yang secara jelas membabitkan negara jirannya itu.

Ini kerana sebarang tindakan mereka akan mendapat reaksi segera daripada Thailand yang serta-merta menghentikan semua projek kerjasama dengan Kemboja serta bantuan ke negara itu. Keadaan ini tentunya merugikan rakyat Kemboja sendiri dan menjejaskan semangat bersahabat dan mesra yang dipegang oleh negara-negara ASEAN.

Wednesday, November 11, 2009

Kemboja Tolak Permintaan Thailand


PHNOM PENH 11 Nov. – Kemboja hari ini menolak permintaan Thailand supaya bekas Perdana Menteri negara itu, Thaksin Shinawatra diekstradisi ke negara gajah putih itu.
Penolakan itu memarakkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara yang berpunca daripada tindakan Kemboja melantik Thaksin sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan Kemboja.
Thaksin tiba di Phnom Penh semalam dengan diberi sambutan mesra oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Jutawan telekomunikasi itu digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini hidup dalam buangan bagi mengelakkan hukuman penjara di Thailand kerana kesalahan rasuah.
Diplomat Thai menyerahkan dokumen ekstradisi kepada pegawai di Kementerian Luar Kemboja awal hari ini tetapi kemudian menerima nota daripada Phnom Penh yang menolak permintaan mereka.
“Nota diplomatik kami hanya menyatakan kami menolak permintaan ekstradisi mereka,” kata Menteri Luar Kemboja, Hor Namhong, sejurus sebelum pertukaran surat itu.
Kemboja telah berkali-kali berikrar akan menolak sebarang permintaan Thai supaya Thaksin diekstradisi, dengan mendakwa tuduhan terhadap bekas perdana menteri itu di Thailand adalah bermotifkan politik.
“Sabitan kesalahan Thaksin berpunca daripada rampasan kuasa pada September, 2006 sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri yang dipilih dengan majoriti besar oleh rakyat Thailand mengikut proses demokrasi,” kata Hor Namhong.
Thailand dan Kemboja memanggil balik duta masing-masing selepas pelantikan Thaksin itu, dan pada minggu ini Kabinet Thai memutuskan untuk membatalkan perjanjian cari gali minyak dan gas yang dimeteraikan dengan Kemboja di bawah kerajaan Thaksin.
Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengancam untuk mengoyak perjanjian ekstradisi dengan Kemboja jika ia enggan menghantar balik Thaksin.
Bekas Perdana Menteri itu dijadual berucap kepada 300 pakar ekonomi Kemboja, esok.
Pegawai Phnom Penh berkata, Thaksin akan berada di Kemboja selama dua tiga hari tetapi tidak berhasrat untuk tinggal di negara ini

Wednesday, November 4, 2009

Thaksin penasihat ekonomi kemboja


PHNOM PENH 4 Nov. - Kemboja telah melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Hun Sen, menurut kenyataan kerajaan hari ini, sekali gus memburukkan lagi ketegangan kedua-dua negara itu.

"Thaksin telah dilantik oleh dikri diraja sebagai penasihat peribadi Hun Sen dan penasihat kepada kerajaan Kemboja dalam hal ehwal ekonomi," menurut kenyataan yang dibacakan di stesen televisyen kerajaan.

Pelantikan itu dibuat hampir dua minggu selepas Hun Sen menawarkan Thaksin, iaitu bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan dan hidup di luar negara bagi mengelak dipenjarakan atas kesalahan rasuah tempat perlindungan.

Kenyataan itu turut menyatakan dakwaan ke atas Thaksin adalah 'bermotifkan politik' dan berjanji tidak akan mengekstradisikannya jika dia memutuskan untuk tinggal di Kemboja atau melakukan perjalanan ke dalam dan luar negara atas tujuan tugasan. - AFP