Monday, May 17, 2010

Cabaran getir Aquino jalani 'tugas besar'




DI Filipina, lelaki bergelar Benigno Simeon 'Noynoy' Cojuangco Aquino III ini dianggap bertuah kerana 50 tahun lalu, beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang terkenal dan disanjung rakyat menerusi perjuangan demokrasi ibu bapanya.

Ibunya, Corazon Aquino atau Cory merupakan presiden ke-11 dan wanita Filipina pertama yang memegang jawatan itu selepas menggulingkan pemerintahan diktator Ferdinand Marcos pada tahun 1986 sebelum meninggal dunia pada tahun 2009 akibat kanser.

Ayahnya, Benigno 'Ninoy' Aquino, juga merupakan seorang pejuang rakyat dan pemimpin pembangkang yang mati ditembak di Manila pada tahun 1983 sebaik pulang dari Amerika Syarikat (AS) untuk menentang Marcos.

Melihat pada reputasi keluarganya sahaja sudah cukup membuktikan bahawa Aquino atau 'Noynoy' sememangnya mewarisi semangat kedua-dua ikon demokrasi itu sehinggakan keputusannya untuk bertanding di dalam pilihan raya presiden pada tahun ini dianggap membawa satu sinar baru dalam suasana politik di Filipina.

Lebih membanggakan apabila beliau berjaya meraih majoriti undi daripada kira-kira 50 juta rakyat yang keluar mengundi sempena pilihan raya umum Filipina yang bermula Isnin lalu, bagi memilih Presiden baru selepas berakhirnya era pemerintahan Presiden Gloria Arroyo Macapagal.

Kemenangan yang digondol oleh Aquino itu sekali gus membenam pesaing terdekatnya, Joseph Estrada serta Manny Villar.

Namun, menang dengan mudah bukanlah satu tiket di mana beliau boleh bersenang-lenang memandangkan 'senarai tugas besar' telah tersedia untuk dipikul olehnya meskipun keputusan rasmi masih belum diumumkan setakat ini.



Pemerhati politik Asia Tenggara, Ahmad Zaki Hassan berpendapat, tumpuan dunia kini beralih kepada agenda yang direncanakan oleh Aquino bagi tempoh enam tahun akan datang sebagai presiden dan cabaran pertama ialah, mengotakan 'janjinya' untuk membasmi gejala rasuah yang membelenggu negara itu.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, berdasarkan laporan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya, Jose Melo, angka pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka itu juga menggambarkan perkembangan yang positif dalam sejarah berbanding pilihan raya terdahulu.

"Perkara ini boleh ditafsirkan melalui pelbagai faktor. Pertamanya, kemungkinan sebahagian rakyat telah jemu dengan pemerintahan Arroyo selama hampir satu dekad yang dicemari dengan dakwaan rasuah.

"Keduanya, kefahaman rakyat Filipina terhadap prinsip demokrasi serta kemahuan dan keinginan mereka untuk sama-sama terlibat dalam menentukan masa depan negara sendiri.

''Ini merupakan perkembangan yang positif terutama bagi rakyat di negara-negara yang masih mempermainkan prinsip-prinsip demokrasi dalam politik harian," katanya.

Ahmad Zaki juga berkata, cadangan Aquino untuk mengarahkan supaya Arroyo disiasat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan rasuah juga boleh dianggap 'memberi kelegaan' kepada rakyat yang mahu supaya pemimpin korup itu diheret ke muka pengadilan.

Selain memberi tumpuan untuk memastikan Filipina sifar rasuah, menurutnya, satu lagi keutamaan Aquino ialah menangani masalah kemiskinan yang membelenggu negara itu dengan suku daripada 90 juta penduduknya dikatakan hanya meraih pendapatan sebanyak AS$1 (RM3.50) sehari.

Malah difahamkan, untuk menangani perkara ini, Aquino dikatakan telah berjanji untuk meluluskan peruntukan tambahan kerajaan sebanyak AS$8.9 bilion (RM28.5 bilion).

Bagaimanapun kata Ahmad Zaki, Aquino perlu menunjukkan kepimpinan dan ketegasan dalam kerjayanya yang mana setakat ini masih 'kabur' bagi memastikan agendanya itu tidak dihalang oleh mana- mana pihak yang tidak bertanggungjawab sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Seorang lagi penganalisis politik, Mohamad Faisol Keling berkata, pemberontakan dan keganasan juga akan menjadi fokus utama presiden baru itu terutama di wilayah bergolak di selatan Filipina.

Kawasan itu merupakan medan tempur antara pasukan tentera dan kumpulan pemberontak komunis serta pejuang Islam selain merupakan antara beban yang 'ditinggalkan' oleh Arroyo kepadanya.

Selain itu, dengan tahap pendidikan yang rendah dan masalah kemiskinan yang mempengaruhi perkembangan demokrasi di Filipina, masyarakat negara itu seolah-olah sukar 'membuka mata' dan hanya menilai seseorang pemimpin berdasarkan populariti dan bukannya kemampuan.

Ini dapat dilihat bagaimana Estrada yang merupakan bekas pelakon, mengalami zaman kejatuhan apabila terlibat dalam masalah rasuah sehinggakan beliau hanya mampu meraih undi sebanyak 20 peratus.

Begitu juga dengan Marcos yang pernah memalitkan sejarah hitam kepada Filipina pada tahun 1980-an namun sehingga kini keluarganya masih mampu meraih undi.

Aquino juga perlu bersiap sedia dengan cabaran berhadapan dengan golongan tentera yang berkepentingan dalam politik dan mempengaruhi hala tuju pemerintahan Filipina selain tabiat AS yang gemar campur tangan.

"Sekiranya dinilai dari sudut kemampuan, Aquino mungkin dilihat masih 'muda' dalam dunia politik berbanding pesaingnya Marcos dan Estrada meskipun beliau pernah terbabit dalam politik dan institusi kerajaan sejak tahun 1990-an dan 2000.

"Namun, dalam memastikan hasrat membawa perubahan dalam demokrasi negara, Aquino perlu berani dan memberi lebih tumpuan dalam hal ehwal dalaman negara yang menjadi asas kepada kecemerlangan negara," katanya.

Namun yang lebih utama, Aquino perlu keluar daripada imej dan populariti ibu bapanya menerusi pembentukan gaya dan acuan kepimpinannya yang tersendiri.

Ia termasuk dengan meyakinkan masyarakat Filipina menerusi perubahan polisi dan pelaksanaan dasar yang dapat dilihat oleh rakyat sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Pun begitu, sesuatu yang menarik untuk dikongsi apabila melihat kemunculan semula keluarga Marcos di dalam politik Filipina. Isteri bekas presiden Ferdinand Marcos, Imelda telah memenangi kerusi Kongres, anak perempuannya pula merupakan gabenor wilayah manakala anak lelakinya dilaporkan semakin hampir untuk meraih kerusi dalam Senat.

Pertembungan dua ikon warisan ini sudah tentu akan mewarnai dunia politik Filipina yang mana, ia barangkali merupakan sebahagian daripada cabaran Aquino sebaik menggenggam jawatan Presiden baru negara itu.

No comments:

Post a Comment